Teka-teki siapa Ketua Menteri Melaka yang ke-12 bakal terjawab hanya kurang 24 jam sahaja lagi menjelang Istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan dan Angkat Sumpah Ketua Menteri Melaka di Dewan Seri Utama, Kompleks Seri Negeri pada Isnin.

Antara pemimpin yang diberi perhatian sebagai calon Ketua Menteri Melaka yang baharu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu dari Barisan Nasional (BN), Datuk Sulaiman Md Ali.

Berusia 55 tahun, Sulaiman dikatakan antara calon terbaik bagi mentadbir negeri Melaka bersandarkan pengalamannnya dalam dunia politik serta dikatakan seorang pemimpin yang bersih.

Mempunyai tiga cahaya mata hasil perkahwinan bersama Datin Munira M Yusop, Sulaiman ketika ini menjawat jawatan sebagai Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Melaka.

Anak jati Melaka berasal dari Kampung Durian Daun, Masjid Tanah itu merupakan ahli Profesional Sarjana Pengurusan Pesuruhjaya Jaminan Kualiti (QAC) dari United Kingdom dan berpengalaman dalam bidang cari gali selama lebih 25 tahun.

Selain Sulaiman, beberapa nama turut dikhabarkan untuk dicalonkan sebagai Ketua Menteri Melaka yang baharu antaranya bekas Ketua Menteri Melaka ke-10, Datuk Seri Ir Idris Haron atas pengalamannya mengemudi negeri itu sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu.


BACA: BN Melaka tarik semula kerjasama dengan dua ADUN Bersatu

Sebelum ini, nama Ketua Menteri Melaka menjadi panas selepas dikatakan berlaku perebutan diantara UMNO dan Bersatu sehinggakan gabungan Perikatan Nasional negeri itu membatalkan kerjasama dengan dua ADUN dari Bersatu, iaitu Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen dan Datuk Noor Effandi Ahmad.

Pada Jumaat, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dalam satu sidang media memaklumkan Yang Di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob telah bersetuju melantik salah seorang daripada 15 ADUN dibawah gabungan Perikatan Nasional.

Bagaimanapun, pengumuman itu hanya akan dibuat kira-kira pukul 3 petang Isnin ini sebelum Istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan dan Angkat Sumpah Ketua Menteri Melaka dijalankan.