KOTA KINABALU: Selepas seminggu khabar angin keluar parti, hari ini Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Yusof Yacob menamatkan spekulasi sekali gus mengumumkan keluar Parti Warisan (Warisan) untuk menjadi ADUN bebas yang menyokong kerajaan negeri ditadbir Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Beliau yang juga bekas Ketua Penerangan Warisan berkata, tindakan itu diambil kerana mahu membantu rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sindumin dan daerah Sipitang dalam menyelesaikan pelbagai masalah, selain berusaha membawa pembangunan ke kawasan itu.

Malah, Yusof menegaskan, tindakannya itu adalah keputusan peribadi tanpa tekanan atau pengaruh daripada sesiapa.

"Saya tidak menerima tekanan malah ini adalah keputusan (keluar parti) peribadi saya. Saya mahu fokus bekerja untuk rakyat yang saya wakili iaitu DUN Sindumin.

BACA: ADUN Sebatik sah sertai Bersatu

BACA: Warisan saman ADUN Sebatik

"Saya memilih untuk bekerjasama, memberi sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kerajaan yang memerintah Persekutuan.

"Saya juga memberi sokongan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan kerajaan negeri Sabah demi kepentingan rakyat untuk kestabilan politik negeri dan juga kestabilan politik negara walaupun sumbangan saya ini mungkin kecil," katanya pada sidang media pada Jumaat.

Selain itu, Yusof berkata beliau telah berbincang dan menyatakan hasrat keluar parti dengan Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Ahli Parlimen Semporna itu tiada halangan untuk beliau berbuat demikian.

"Kita bincang sebagai sahabat, beliau tiada halangan kerana dalam politik begitulah keadaannya. Saya secara peribadi tidak mahu bermusuh dengan sesiapa, saya mahu jaga rakyat mahu jaga negeri Sabah.

"Saya dengan Warisan tiada masalah dan bersikap terbuka, saya bersedia dengan apa-apa tindakan selepas ini. Saya juga akan memberi surat makluman kepada Speaker DUN, Datuk Kadzim M Yahya," katanya.

BACA: Adun Sebatik umum keluar Warisan, jadi Bebas sokong GRS

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 2018, Yusof, 66, menang kerusi DUN Sindumin dengan majoriti 760 undi dalam saingan tiga penjuru, sebelum mempertahankan kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16, tahun lalu dengan majoriti 424 undi dalam saingan enam penjuru.

Dengan perkembangan terbaru itu, Warisan yang memenangi 23 kerusi DUN pada pilihan raya tersebut, kini tinggal 20 kerusi setelah ADUN Bugaya Manis Muka Mohd Darah meninggal dunia November tahun lepas dan ADUN Sebatik Hassan A Gani Pg Amir keluar parti pada Februari lalu.