KOTA BELUD: Parti Warisan (Warisan) yakin tetap teguh walaupun seorang lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu mengumumkan keluar parti hari ini.

Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata walaupun pelbagai cara digunakan pihak tertentu untuk menjatuhkan Warisan namun sokongan kuat penyokong membolehkan parti itu terus kukuh.

"Kita masih mantap di Tawau... Kalabakan... dengan berbagai langkah yang mereka lakukan untuk menekan, melemahkan Warisan... Warisan insya-Allah masih kuat," katanya kepada Astro AWANI.

Beliau ditemui selepas merasmikan Majlis Rumah Terbuka Kaamatan Warisan di Dewan Kedamaian Square Taginambur pada Ahad.

Shafie mengulas tindakan ADUN Kukusan yang juga Naib Ketua Wirawati Warisan, Rina Jainal yang mengumumkan keluar parti dan mengesahkan menyertai Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) pada Ahad.

Politik Sabah | Rina Jainal keluar Warisan, sertai Harapan

Dalam pada itu, ditanya sama ada terdapat sebarang tindakan undang-undang bakal diambil terhadap Rina, berikutan sebelum ini sudah menandatangani surat aku janji taat setia kepada parti, Mohd Shafie berkata ia akan dilakukan kelak.

Mengenai perkembangan terkini tindakan undang-undang yang diambil Warisan ke atas lima bekas ADUN yang terlebih dahulu mengambil keputusan keluar parti, Mohd Shafie menyatakan sebahagiannya sudah dibawa ke mahkamah.

"Sebahagiannya memang kita dah bawa ke mahkamah, kita heret mereka oleh kerana perjanjian yang telah kita nyatakan kepada mereka... pengakuan mereka...itu sememangnya akan menjadi satu tindakan yang kita lakukan," katanya.