Seorang ahli akademik hari ini mencadangkan agar Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PH) dalam kalangan bukan Melayu perlu lebih agresif mendekati orang Melayu termasuk di luar bandar bagi mengubah persepsi negatif terhadap mereka.

Ahli Penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Denison Jayasooria berkata, walaupun ramai mengatakan keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sebagai satu manifestasi Tsunami Orang Melayu, tetapi masih terdapat persepsi anti-Islam dan anti-Melayu dalam kalangan Ahli Parlimen PH bukan Melayu.

"Keadaan di mana Ahli Parlimen berbangsa Cina hanya pergi ke komuniti Cina dan Ahli Parlimen berbangsa India hanya kepada komuniti India tidak seharusnya berlaku lagi. Kini mereka secara agresifnya perlu pergi ke masyarakat Melayu terutamanya di pedalaman seperti Felda dan bertemu dengan rakyat.

"Ramai Ahli Parlimen PH bukan Melayu muda boleh bercakap bahasa (bahasa Melayu) dengan baik. Mereka boleh turun padang bertemu pengundi Melayu dan mengubah persepsi negatif tersebut," katanya di Seminar 'At the sideline of GE14: An Analysis' di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), di sini hari ini.

Terdahulu Denison menyampaikan syarahan kajiannya mengenai pasca PRU14 bertajuk, "Apa makna PRU14 kepada Malaysia".

Sebab itulah, katanya, kerajaan PH perlu memberikan pemahaman yang jelas mengenai Islam dan gambaran sebenar situasi politik baharu Malaysia kepada rakyat.

Tambahan pula, menurutnya, keputusan PRU14 juga menunjukkan terdapat kemungkinan yang Pas akan mencipta satu perubahan besar politik dalam tempoh 10 tahun yang akan datang.

Katanya, keputusan di mana parti Islam itu menguasai Kelantan dan Terengganu dan hampir menang di Kedah dan Perak menunjukkan bahawa rakyat mahu melihat Malaysia menjadi negara yang pematuhan terhadap Islam dan hukum syariah yang lebih kuat pada masa hadapan.

"Jangan menolak aspirasi Islam pada rakyat. Sebagai contoh, di India, apabila BJP (Bharatiya Janata Party) berjaya disebabkan rakyat merasakan sesuatu yang tidak kena di negara itu.

"Jadi jika secara berterusan berlakunya rasuah, penyalahgunaan kuasa, jika kehilangan moral dan agama yang lemah jadi majoriti pengundi boleh memilih yang ini ataupun yang lain," katanya.

-- BERNAMA