“Ahli politik yang melompat parti menyertai parti komponen kerajaan, perlu meletak jawatan!”

Itu tegas penganalisis politik dari Universiti Malaya, Profesor Awang Azman Awang Pawi berhubung isu beberapa ahli Barisan Nasional (BN) 'melompat parti' untuk menyertai Pakatan Harapan (PH).

Mengulas perihal ini, Awang Azman berkata sewajarnya Pilihan Raya Kecil (PRK) perlu diadakan bagi mengembalikan kuasa kepada pengundi untuk menilai sama ada individu yang melompat parti tersebut layak dipilih sebagai wakil rakyat ataupun tidak.

Tambahnya, alasan menukar parti berlandaskan alasan untuk menguatkan barisan Kerajaan dan mudah membantu rakyat tidak boleh diterima.

“Golongan seperti ini bermotifkan keuntungan dan bukannya untuk rakyat.

“Tindakan melompat parti adalah tindakan tidak bertanggungjawab dan tidak beretika kerana tidak menghargai mandat yang diberikan oleh pengundi,” kata Azman Awang yang juga Ketua Panel Penyelidik Universiti Malaya Pilhan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pihak yang kalah itu perlu menguatkan komponen pihak pembangkang untuk melawan kerajaan yang baru di negara kita, tambahnya lagi.

Awang Azman berpendapat, golongan yang ingin menyertai mana-mana parti perlu membubarkan parti mereka terlebih dahulu disamping tidak dibenarkan dilantik mana-mana jawatan dalam kabinet dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Dengan ini, mereka perlu membuktikan kesetiaan kepada kerajaan dan bukannya untuk mendapat sebarang kedudukan yang selesa.

Selepas keputusan PRU14 diumumkan awal pagi Khamis oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), beberapa ahli BN mengambil keputusan mengumumkan keluar parti untuk menyertai yang memenangi majoriti untuk membentuk sebuah merupakan kerajaan baharu.

BACA: Pakatan Harapan Johor tapis tindakan Adun lompat parti

BACA: #MalaysiaMemilih: Fenomena lompat parti di Sabah

BACA: Enam pemimpin politik Sarawak sertai PKR


Antara yang telah mengumumkan keluar daripada parti ialah tiga ADUN Johor daripada BN, enam pemimpin politik di Sarawak dan beberapa ahli politik di Sabah.