KUALA LUMPUR:Selepas beberapa Ketua Pemuda UMNO Bahagian membuat desakan secara terbuka agar Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berundur, hari ini Ketua UMNO Bahagian Paya Besar, Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman tampil membuat gesaan yang sama.

Dalam satu kenyataan hari ini, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lepar itu berkata, Ahmad Zahid wajar melepaskan jawatan Presiden demi bangsa Melayu, UMNO, kesetiaan dan kegigihan 3.6 juta ahli parti.

Tegasnya lagi, pengunduran itu perlu memandangkan kemelut pimpinan tertinggi UMNO khususnya Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) serta Ahli-ahli Parlimen berlarutan tanpa sebarang penyelesaian.

Kata beliau, tindak-tanduk Ahli-ahli MKT dan Ahli-ahli Parlimen yang tidak terarah juga mendedahkan UMNO kepada kehilangan keyakinan orang Melayu yang sangat diperlukan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Arah tuju yang tidak jelas beserta lemah ketegasan tindakan membawa kesan meluntur daya juang dan kesungguhan 3.6 juta ahli UMNO. Kesan langsung pendakwaan salah laku terhadap kepimpinan UMNO membawa beban berat kebangkitan semula UMNO,” katanya lagi.

BACA: UMNO perlu bariskan pemimpin baharu selain Ahmad Zahid - Pemuda UMNO Pagoh

Ahmad Sulaiman mendakwa, ahli-ahli UMNO tidak dapat melihat jelas kewajaran mendokong pemimpin yang dipecat oleh Ahli MKT sendiri.

Selain itu beliau berkata, penolakan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) oleh Bahagian-bahagian jelas memperlihatkan ketegasan akar umbi terhadap pimpinan kerajaan Bersatu.

Baru-baru ini media melaporkan, Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Mohamed Nizham Abdullah Hamidi sebagai berkata, UMNO perlu dirombak semula dan kemudian mengetengahkan pemimpin yang bukan hanya diterima oleh ahli bahkan rakyat juga.

Beliau berkata, UMNO dalam masa sama perlu mengadakan pemilihan pada tahun ini juga agar suhu tidak puas hati terhadap pemimpin kembali reda.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pontian, Mohd Helmi Buang pula dilaporkan berkata, kluster besar dalam UMNO perlu berundur segera bagi mengelakkan kekalahan besar pada PRU14 berulang pada PRU15 kelak.

BACA: Jangan ada yang cuba minta Ahmad Zahid berundur - Ahmad Jazlan