UMNO tidak menetapkan sebarang had masa kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk ‘bercuti’ bagaimanapun buat masa ini pimpinan dan ahli senang dengan gaya Datuk Seri Mohamad Hasan mengemudi parti.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Perlembagaan UMNO tidak menyebut had masa seseorang itu perlu ‘bercuti’.

“Tidak ditentukan berapa lama Ahmad Zahid berehat, dalam Perlembagaan UMNO tak sebut berapa lama orang itu kena cuti, terserah kepada dirinya sendiri. Apa yang penting sepanjang Ahmad Zahid bercuti, beliau tak campur tangan dalam UMNO, beliau betul-betul bercuti... tak terlibat apa-apa.

“Buat masa ini UMNO dipimpin oleh Mohamad, keyakinan rakyat terhadap beliau saya tak boleh nyatakan secara jelas, tapi apabila dipimpin oleh Mohamad, beliau ada gaya tersendiri, kalau orang boleh terima, Alhamdulillah, kesannya rakyat akan buat penilaian," katanya ketika ditemui media di Menara Datuk Onn, di sini, hari ini.

Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera ketika ditanya adakah UMNO bercadang mengalihkan jawatan nombor satu parti kepada Mohamad secara rasmi, katanya ia bersandarkan kepada Perlembagaan UMNO.

“Kita (UMNO) ada Perlembagaan, setiap tiga tahun ada pertandingan (Pemilihan Agung UMNO), semua boleh tanding, UMNO terima sesiapa jadi pemimpin, janji ahli terima,” ujarnya.

BACA: Masuk campur kes Adib: Pembangkang desak AG letak jawatan

Sementara itu, beliau turut memaklumkan, pindaan Perlembagaan UMNO akan dilakukan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri namun, menegaskan agenda pihak tertentu mengaitkan pindaan itu dengan hasrat pengguguran Ahmad Zahid sebagai Presiden UMNO hanyalah spekulasi.

“Sehingga kini tidak ada sesiapa tahu mengenai butiran pindaan. Ia tetap akan menjadi cadangan sehinggalah pindaan dilakukan. Spekulasi yang tersebar itu sesiapa boleh buat. Pindaan perlembagaan ini dipengerusikan Naib Presiden UMNO, Mohamed Khaled Nordin,” katanya.

BACA: Parti Negara hantar permohonan pendaftaran kepada RoS

Menurut Ismail, Khaled akan bergerak ke negeri-negeri, bahagian dan cawangan bagi mendengar suara akar umbi dan cadangan itu akan dibentangkan kepada majlis tertinggi parti.

“Selepas dibentangkan di majlis tertinggi parti, UMNO akan buat 'retreat' selama satu hari bagi berbincang mengenai cadangan pindaan berkenaan. Namun, keputusan tidak boleh dicapai lagi.

"Ia hanya boleh jadi keputusan bila diputuskan dalam mesyuarat agung luar biasa pada November nanti,” katanya.

BACA: DAP harus dijadikan model dalam perjuangan Putra - Ibrahim Ali

Malah menurutnya, spekulasi dan desakan daripada UMNO bahagian yang meminta Ahmad Zahid berundur, hanyalah pandangan peribadi bukannya pandangan parti secara keseluruhan.

“Memang ada pandangan daripada seorang Ketua UMNO Bahagian, tapi itu pandangan peribadi, kita ada 191 bahagian, satu dua orang bagi pandangan bukan pandangan parti secara keseluruhan.

“Kita ikut Perlembagaan parti. UMNO terbuka untuk beri pandangan, kita hormat tapi akhirnya Perlembagaan UMNO akan tentukan keputusan,” jelasnya.

BACA: Lagi banyak parti Melayu, lagi kaum itu akan pecah belah - Tun Mahathir

Sementara itu, Ismail Sabri turut menyifatkan penubuhan lebih banyak parti berteraskan Melayu hanya akan memecahkan kaum tersebut.

Bagaimanapun, Naib Presiden UMNO itu berkata pihaknya tidak dapat menghalang penubuhan parti lain atas dasar Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi.

“Lebih banyak parti Melayu lebih berpecah orang Melayu. Kalau sokongan terlampau besar banyak akan beri kesan kepada sesiapa tetapi kalau kecil kecil tak jejas, cuma orang Melayu tak gembira,” katanya.

BACA: DAP harus dijadikan model dalam perjuangan Putra - Ibrahim Ali

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas penubuhan parti Putra yang diasaskan Presiden Perkasa, Datuk Dr Ibrahim Ali termasuk dianggotai beberapa bekas pemimpin UMNO.