KUALA LUMPUR: Cadangan pemilihan anak muda untuk memimpin Johor dilihat mampu memberikan idea dan sumbangan bermakna dalam pembangunan negeri itu.

Exco Majlis Belia Malaysia (MBM), Fauzi Fadzil berpendapat, ia merupakan satu bentuk pembaharuan dalam pentadbiran negeri, sama seperti yang berlaku di Melaka sebelum ini.

"Inilah pembaharuan yang dibawa di Melaka, di mana banyak kerusi ditandingi anak muda dan selepas pilihan raya negeri, UMNO dan Barisan Nasional (BN) melakukan reformasi dengan memberi peluang lebih banyak kepada orang muda.

"Mungkin itu yang cuba dibawa di Johor sekarang dengan membawa banyak muka baharu dalam kalangan belia, malah diberi peluang untuk menduduki kerusi nombor 1 Johor," katanya ketika muncul dalam Buletin AWANI, pada Selasa.

Terdahulu, Pengerusi Perhubungan BN Johor, Datuk Hasni Mohammad dalam satu kenyataan semalam memaklumkan, beliau telah memohon agar orang muda diberi laluan untuk memimpin Kerajaan negeri Johor.

"Kalau dilihat dalam manifesto UMNO dan BN sendiri, banyak berkisarkan isu yang membabitkan orang muda seperti isu perumahan dan pekerjaan.

"Hal-hal sebegini memang memerlukan 'air tangan' orang muda, seperti contoh isu perumahan di kawasan Johor Bahru yang padat, senang untuk kita tahu apa kehendak orang muda," ujar Fauzi.

Fauzi juga tidak melihat perkara itu sebagai konflik dalaman parti sebaliknya ia hanya perkara biasa apatah lagi untuk sebuah parti veteran seperti BN dan UMNO.

"Kita tahu UMNO parti tertua, pergolakan seperti ini biasa terutama dalam hal-hal yang signifkan. Apa yang penting ialah pasca kemelut, pertembungan pemimpin ini biasa tapi apabila keputusan sudah dicapai, semua akan kembali seperti biasa.

"Wakil belia yang diangkat itu juga bukan calang-calang, mempunyai latar belakang baik dan sudah lama berkecimpung berkecimpung dalam politik," katanya lagi.

Semalam media melaporkan tiga nama yang telah disenarai pendek sebagai calon Menteri Besar selain Hasni, iaitu Datuk Onn Hafiz Ghazi (ADUN Machap) dan Datuk Mohd Puad Zarkashi (ADUN Rengit).

Bagaimanapun, sumber memaklumkan Onn Hafiz hampir pasti menjadi pilihan Istana.

Beliau yang juga bekas Exco Pelancongan, Belia dan Sukan Johor mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu lalu.

Majlis angkat sumpah dijangka berlangsung petang ini.

MB Johor dijangka angkat sumpah hari ini