SHAH ALAM: Tan Sri Annuar Musa dilihat mengenakan pakaian berwarna hijau dipercayai isyarat penyertaannya dalam parti Pas.

Menerusi hantaran di laman Facebook pada Khamis, bekas Setiausaha Agung UMNO itu turut menyamakan kehidupan seperti sebuah perjalanan.

"Semoga hari ini menjadi permulaan kepada hari-hari yang lebih baik buat semua.

"Kehidupan adalah sebuah perjalanan. la tetap berliku namun mereka yang tabah dan sabar akan jadikan setiap langkah sebagai dorongan ke arah kecemerlangan dan kejayaan, Insya-Allah," katanya.


Sebelum ini media melaporkan, bekas Ahli Parlimen Ketereh itu merupakan antara lebih 10 bekas pimpinan UMNO yang sudah mengisi borang permohonan menganggotai Pas.

Perkara itu disahkan oleh Timbalan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan pengumuman penerimaan keahlian tokoh-tokoh politik berkenaan dijangka dibuat penghujung bulan ini.

Takiyuddin turut memaklumkan kesemua bekas pimpinan UMNO terbabit akan dipertimbangkan untuk diberikan tempat sekiranya mereka menyatakan hasrat untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang. - Sinar Harian