KUALA LUMPUR : Apa kaitan pilihan raya umum (PRU) awal dengan kes mahkamah?

Persoalan itu dilontarkan Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan terhadap kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Ia susulan Pengarah Pilihan Raya Pas itu mendakwa kononnya desakan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi supaya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) awal kerana takut dipenjara.

Shahril malah menegaskan tuduhan yang dibuat oleh Pengarah Pilihan Raya Pas itu amat berat kepada integriti hakim dan institusi kehakiman negara.

"Bila sahaja PRU berlangsung, dan jika BN (Barisan Nasional) menang, apa yang cuba DS Sanusi katakan? Bahawa disebabkan BN menang, tiba-tiba hakim akan dipaksa tukar fikiran?

"Sekarang pun, Perdana Menteri dari UMNO. Berdasarkan keputusan MKT UMNO, kalau BN menang, Perdana Menteri sama. Kes (mahkamah) masih berjalan. Jadi, apa kena-mengena PRU awal dengan soal kes mahkamah?" soal beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Shahril dalam pada itu menjelaskan, Ahmad Zahid tidak mendesak PRU15 segera, tetapi hanya meminta supaya tidak terlalu lewat atas pertimbangan strategik parti dan untuk negara.

Sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN, menurut beliau, Ahmad Zahid mahukan parti itu menang dan Malaysia mendapat manfaat daripada keadaan politik yang lebih stabil.

"Apa pun, soal ini akan dibincangkan oleh 'top 5' parti. Parti lain tak perlu masuk campur tentang perbincangan dalaman UMNO," ujarnya.

Selain itu, Shahril menegaskan, tiada jaminan BN akan menang PRU.

Katanya, suara yang menantikan PRU dan mandat baharu ada dalam kalangan ahli parti dan rakyat yang tiada kes mahkamah.