AYER KEROH: Lanjutan daripada inisiatif  ‘Keluarga Malaysia’ yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini, Kerajaan Negeri Melaka membuat tawaran baharu kepada barisan pembangkang di negeri berkenaan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, tawaran itu membabitkan kerjasama merentasi sempadan tembok politik, agama, ekonomi, budaya dan hal kemanusiaan, tanpa membezakan latar belakang keturunan dan bangsa, serta sudut pandang berlainan, demi kestabilan dan kebajikan rakyat melaka.

Untuk itu, beliau telah menggariskan sembilan ciri utama Transformasi Sejahtera Politik dan Pentadbiran 2035 atau TS35 yang disifatkan sebagai “Kanvas baharu yang bersifat inklusif.”

“Jadi, pendekatan serta tindakan yang digariskan dalam Transformasi Sejahtera 2035 atau TS2035 adalah yang utama pada ucapan penggulungan adalah sempena Bajet Negeri Melaka 2021 yang lalu. Saya telah menawarkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukan Kerajaan sebagai rakan strategic kepada Kerajaan Negeri,” kata Sulaiman.

“Kedua, saya juga telah menaikkan peruntukan emolumen untuk khidmat ADUN rakan strategik ini sehingga kepada RM60 ribu setahun bermula awal tahun.

Penjenamaan semula Jawatankuasa Khas COVID-10 Melaka ke nama baharu iaitu Majlis Pengurusan Pemulihan COVID-19 (MMPC) turut diumumkan dan ia diterajui oleh Datuk Abdul Ghafar Atan.

“Kita menjemput juga ADUN bukan kerajaan untuk bersama-sama memberi pandangan dan melontarkan idea-idea bagaimana kita mampu mengurus COVID-19 di Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Persidangan Pertama Penggal Keempat, Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-14 di Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Selain itu, katanya, Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (JTPD) akan turut melibatkan ADUN pembangkang berbanding sebelum ini yang hanya terdiri daripada adun-adun kerajaan.

Tambahnya, segala dasar dan perancangan itu menfokuskan kepada gagasan menuju TS35.

INI 9 CIRI UTAMA TS2035:

1. Peruntukan baharu RM50,000 kepada setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam bentuk sumbangan kit makanan. Ia melibatkan peruntukan sejumlah RM1.4 juta.

2. Menaikkan peruntukan emolumen untuk Pusat Khidmat ADUN kepada DUN pembangkang kepada RM60,000 daripada RM42,000 mulai Januari lalu.

3. Wakil rakyat pembangkang dijemput menyertai Jawatan Kuasa Khas COVID-19 Melaka (yang akan dijenamakan kepada Majilis Pengurusan dan Pemulihan COVID-19 (MPPC).

4. Wakil rakyat pembangkang dicadang dijemput menyertai Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (JTPD) yang kini hanya melibatkan ADUN-ADUN Kerajaan.

5. Wakil rakyat pembangkang dicadang menjadi anggota Ahli Majis Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Melaka (MTENM).

6. Transformasi Sejahtera Agensi dan Perkhidmatan Kerajaan.

7. Menghulur salam persahabatan kepada wakil rakyat pembangkang pada sidang DUN Bajet 2021.

8. Memperhebat dan menggalakan pelaburan degan mempromosi Melaka sebagai salah sebuah destinasi pelaburan yang kondusif.

9. Pakej Ransangan Ekonomi Melakaku Maju Jaya 2021: Sejahtera Bersama.