KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said mengesahkan telah meletak jawatan sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Keputusan itu dibuat selaras dengan pelantikan Perdana Menteri baharu dan permintaan rakyat untuk memastikan kerjasama pelbagai pihak.

Dalam satu kenyataan, Azalina berkata, keputusan mengosongkan jawatan itu bagi membolehkan kerajaan dan pembangkang mendapatkan lebih banyak ruang untuk membetulkan semula Dewan Rakyat agar ia benar-benar dapat berfungsi sebagai forum persaingan profesional dan kolaborasi mengenai dasar dan pentadbiran.

"Saya akan menyokong sebarang pembaharuan kerajaan dan pembangkang dalam usaha mencari penyelesaian yang bijak secara kolektif.

"Saya juga berbesar hati dan menganggap ia merupakan suatu penghormatan yang besar untuk diberi peluang berkhidmat sebagai Timbalan Speaker selama 13 bulan yang lalu," katanya dalam kenyataan media, malam ini.


[TERKINI] Azalina sah letak jawatan Timbalan Speaker Dewan Rakyat

 
Sumber Facebook ybaos

Azalina turut mengemukakan tiga sebab peletakan jawatannya sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat. 

"Pertama ialah kapasiti moral peribadi sebagai Timbalan Speaker. Terdapat konflik peranan dan tanggungjawab dalam menjadi Ahli Kerja Majlis Tertinggi UMNO dan sebagai Ahli Parlimen dalam gabungan kerajaan yang memerintah.

"Kejadian yang sudah berlaku menunjukkan keputusan yang bertentangan membabitkan UMNO sebagai parti dan Ahli Parlimen kerajaan gabungan.

"Pada masa depan, Speaker dan Timbalan Speaker perlu digantung daripada sebarang jawatan parti untuk memastikan beliau tidak berpihak, yang merupakan elemen utama jawatan berkenaan, seterusnya supaya beliau dapat berfungsi dengan berkesan tanpa rasa takut atau pilih kasih," katanya.

Sebab kedua ialah melibatkan tanggungjawab rasmi sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, katanya.

"Perkembangan dalam masa 17 bulan lalu telah mendorong saya untuk memikirkan kecacatan institusi Parlimen kita dan batasan saya untuk melaksanakan tugas dengan baik tanpa menjejaskan sikap profesional dan integriti saya.

"Sistem nilai peribadi saya berkaitan dengan peraturan undang-undang, demokrasi berparlimen, semak imbang sejak Pengisytiharan Darurat pada bulan Januari 2021 juga konsisten. Kekecewaan saya adalah pengetahuan umum dan alasan yang diketahui," tambah beliau.

Sebab ketiga pula, katanya ialah kurangnya rundingan dan keputusan bersama yang mempengaruhi prestasinya sebagai Timbalan Yang Dipertua.

"Mengikut Peraturan-peraturan mesyuarat, seorang Timbalan Speaker tidak boleh membuat
keputusannya sendiri di Dewan Rakyat.

"Membuat keputusan secara bersama, tidak memihak, adil, dan saling menghormati adalah elemen utama yang saya mahukan lihat di Parlimen Malaysia," kata Azalina.