KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan kerajaan menjadualkan semula pembentangan Belanajawan 2023 bukanlah sesuatu yang di luar kelaziman, namun dakwanya, ia petanda Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berdepan tekanan dari dalam parti.

Katanya proses penyediaan Belanjawan 2023 tidak tahun-tahun sebelum ini yang turut melibatkan Pakatan Harapan (PH) bagi membincangkan isu-isu pokok seperti percukaian.

“Umumnya dalam praktik kita dalam satu dua tahun ini, ada perundingan dengan Pakatan Harapan (PH) berdasarkan memorandum persefahaman, umpamanya aspek percukaian, perbelanjaan, ketelusan, pertanggungjawaban dalam beberapa isu pokok yang mahu dibentangkan.

"Ini (rundingan) belum bermula, bermakna mereka terburu-buru melaksanakan (pembentangan belanjawan). Maka adalah diandaikan ini dilakukan supaya memberikan sekali lagi ruang untuk Perdana Menteri menentukan tarikh pilihan raya," katanya dalam video yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya pada Sabtu.



Bagaimanapun, Anwar berkata rakyat memerlukan mandat yang lebih kuat dan bukannya Perdana Menteri yang terpaksa bertindak mengikut tuntutan partinya.

Katanya Kerajaan yang stabil dengan mandat yang jelas supaya pemerintahan baru boleh menumpukan perhatian pertama mempastikan tata kelola kerajaan yang baik dan meghapuskan rasuah.

Tambah Anwar, antara isu yang belum ditangani ialah peningkatan kos sara hidup, pembaharuan pendidikan, kemudahan kesihatan, menghadapi pendigitalan dan Kepintaran Buatan dan perubahan iklim, dengan banjir berlaku beberapa kali setahun.

"Malangnya satu pentadbiran yang lemah seperti yang ada sekarang di bawah telunjuk bererapa tokoh yang takut hadapi pendakwaan di mahkamah, tidak mungkin membantu menyelesaikan masalah rakyat terutama kos sara hidup yang meningkat.

"Jadi kita harap rakyat akan diberi pencerahan bersama untuk bangkit bertindak menuntut perubahan dan pembaharuan yang menyeluruh," katanya.

Sebelum ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengesahkan Bajet 2023 akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 7 Okt ini, iaitu tiga minggu lebih awal dari tarikh yang dimaklumkan sebelum ini.

BACA: Belanjawan 2023 dibentang 7 Okt - Wan Junaidi

Wan Junaidi bagaimanapun menafikan sebarang kaitan antara pertukaran tarikh itu dengan pilihan raya umum akan datang, yang dispekulasi akan diadakan tahun ini kerana Umno telah meningkatkan tekanan kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk mengadakan pilihan raya mengejut.