KUALA LUMPUR: Di sebalik desas-desus Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan diadakan dalam masa terdekat, Tun Dr Mahathir Mohamad pula berpendapat, ia tidak akan diadakan tahun ini.

Ini kerana, kata Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) itu, parti-parti di dalam kerajaan sendiri dilihat masih belum bersedia ketika ini.

"Saya jangka bukan sebelum pembentangan Bajet 2023. Saya fikir mereka tidak boleh mengadakan (PRU15) awal kerana mereka juga tidak bersedia.

"Jadi parti dalam kerajaan sedang mencari slot (masa yang sesuai) kerana ketika ini rakyat sebenarnya menolak mereka. Kita boleh lihat terhadap situasi yang berlaku beberapa hari kebelakangan ini," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Himpunan Nasional 2022 Parti Berjasa di Dewan Tun Abdul Razak, di sini, hari ini.

BACA: Bajet 2023 diawalkan ke 7 Okt, petanda PRU makin dekat? - Laporan

Semalam, desas-desus PRU15 semakin dekat hangat diperkatakan selepas kerajaan mengesahkan mempercepatkan pembentangan Bajet 2023 kepada 7 Oktober berbanding jadual asal pada 28 Oktober depan.

Mengulas lanjut, veteran politik itu berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga dilihat tidak cenderung mengambil langkah tersebut.

Bagaimanapun Dr Mahathir mengakui tidak dapat meramal apa yang berlaku kerana menyedari terdapat desakan agar PRU15 diadakan segera.

"Secara peribadi, saya tidak fikir PRU tahun ini.

"Tetapi kita tak tahu kerana Zahid (Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) mahukan PRU tahun ini sebab beliau berdepan kes perbicaraan mahkamah untuk jenayah yang dilakukannya.

"Tetapi saya fikir Perdana Menteri tidak berapa minat (adakan PRU15) sebab jika adakan PRU, Perdana Menteri akan hilang jawatan. Jika mereka menang pun, beliau (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) tidak akan jadi Perdana Menteri lagi," tambah Dr Mahathir.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Langkawi itu menafikan mengadakan pertemuan dengan Ismail Sabri baru-baru ini.

“Itu bohong. Saya tak temui Ismail (Sabri). Kalau terakhir saya jumpa beliau sebelum jadi Perdana Menteri. Ismail Sabri datang jumpa saya untuk dapatkan nasihat

“Selepas beliau jadi Perdana Menteri, tak ada bertemu," katanya.