KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini tampil menjelaskan tindakan beliau yang dilihat ‘mendiamkan diri’ khususnya selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau memilih untuk berbuat demikian bagi mengelakkan kenyataannya disalah anggap.

“Saya rasa lepas PRU15 inilah kali pertama saya jumpa dengan media (dan) saya tidak membuat sebarang kenyataan kerana takut disalah anggap, pelbagai spekulasi timbul dan sebagainya.

“(Sedangkan) saya bercuti dekat Dubai pun ada orang kata (saya terlibat dengan) ‘Langkah London’. Jadi, bagi saya (ketika itu) biarlah keadaan tenang.

“Kita adakan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) dulu (baru bertemu media) kerana yang penting parti perlu diperkukuhkan,” katanya dalam sidang akhbar di Laman Media sempena PAU2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Sabtu.

PAU2022 | Demokrasi UMNO sudah mati?


BACA SEMUA BERHUBUNG PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 2022

Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO sebelum ini terpalit dengan dakwaan bahawa terlibat dalam gerakan menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Bera itu menegaskan tuduhan tersebut sebagai fitnah yang berniat jahat.

Katanya serangan fitnah itu dilakukan oleh pihak yang 'tidak mengenal dosa'.