JITRA: Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan menyifatkan permohonan Parti Bangsa Malaysia (PBM) untuk menyertai gabungan Barisan Nasional (BN) adalah satu tindakan yang sangat memalukan dalam arena politik negara.

Menurutnya, ianya disebabkan keputusan parti itu untuk sanggup kembali melutut kepada pihak yang ditentang sebelum ini hanya untuk meraih kuasa.

"Ini satu perkara yang (sangat) memalukan, (semua tahu PBM ini) daripada sejarahnya (berada) dalam Parti Keadilan Rakyat, (kemudian) sejarah di dalam Pakatan Harapan, (dan) sejarah dalam Perikatan Nasional, tiba-tiba melutut kembali kepada Barisan Nasional demi kuasa.

"Saya rasa ini perkara yang saya kesal (apabila) saya melihat perkembangan tersebut, (bagaimanapun saya nak ucapkan) good luck to them,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Program Jom Zumba bersama Wan Saiful di Tasik Darul Aman Jitra pada Jumaat.

Terdahulu, Presiden Penaja PBM, Datuk Zuraida Kamaruddin mengesahkan bahawa parti itu telah menghantar permohonan rasmi untuk menyertai BN bagi menyertai gabungan itu dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), tiga minggu lalu.

Bagaimanapun jelasnya, setakat ini BN masih belum menjawab permohonan tersebut.