JOHOR BAHRU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor sebulat suara menolak pencalonan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu.

Ketua Penerangan Bersatu Johor, Mohd Solihan Badri berkata, penolakan itu dibuat kerana mempertahankan pendirian parti itu yang tidak mendukung pemimpin integritinya diragui.

"Selaku Ketua Penerangan Bersatu Negeri Johor dan juga Timbalan Ketua Penerangan Perikatan Nasional Negeri Johor, bersama-sama ahli Bersatu yang lain menolak pencalonan Ahmad Maslan sebagai Timbalan Yang DiPertua Dewan Rakyat.

"Dalam konteks sebagai calon Timbalan Speaker, saya bersependapat dengan Bersatu Pusat bahawa kita tidak bersetuju untuk mengambil mereka yang masih terlibat dalam perbicaraan kes-kes mahkamah menjadi calon kepada Menteri, Timbalan Menteri ataupun Timbalan Speaker.

"Bersatu Johor, kita bersama dengan pihak (Bersatu) Pusat dalam perkara ini,

"Sejajar dengan kenyataan Presiden Bersatu, Tan Sri Mahiaddin Yassin, Bersatu mesti mencari pemimpin yang berintegriti, amanah dan bebas rasuah," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Baru-baru ini, UMNO mengesahkan Ahmad merupakan satu-satunya calon daripada blok kerajaan untuk dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu.

Manakala blok pembangkang pula mencalonkan Ahli Parlimen Teluk Intan yang juga bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming untuk mewakili Pakatan Harapan (PH).

Ahmad yang juga merupakan Setiausaha Agung UMNO itu kini berdepan kes mahkamah membabitkan pertuduhan gagal mengisytiharkan RM2 juta yang diterima daripada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan memberi penyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).