ALOR SETAR: “Tunggu dahulu dan biar pimpinan tertinggi buat keputusan.”

Itu reaksi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkenaan pendirian parti berkenaan untuk tidak bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menurut Mahdzir, memandangkan kenyataan enggan bekerjasama dengan Bersatu dikeluarkan Presiden UMNO, justeru, ada baiknya hal itu dibincangkan di peringkat pucuk pimpinan.

“Saya ingat itu (isu enggan kerjasama dengan Bersatu) dibawa kepada parti, kita bawa berbincang, biar saya bawa ada keputusan di peringkat parti sebab ini untuk hadapi pilihan raya… biar ada keputusan secara konsensus dalam parti UMNO itu sendiri,” kata Mahdzir.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan premis perniagaan usahawan yang menerima kemudahan keusahawanan MARA di sini, pada Ahad.

BACA: PRU15: Bersatu sedia bertembung jika UMNO tidak ubah pendirian - Muhyiddin

BACA: PRU15: UMNO pertahan semua kerusi Parlimen, DUN, mahu kembali dominan - Ahmad Zahid

Mahdzri dalam masa sama turut memaklumkan, dalam tempoh terdekat belum ada pertemuan ataupun perbincangan dalam kepimpinan tertinggi UMNO mahupun dengan Bersatu.

Katanya, UMNO mempunyai pendirian sendiri dan perkara itu telah dinyatakan di dalam Perhimpunan Agong UMNO (PAU 2020) sebelum ini.

Jelas Mahdzir, adalah lebih baik bagi semua pihak berdiam diri terlebih dahulu memandangkan perjalanan PRU15 masih jauh.

“UMNO pun ada pendirian sendiri, kalau kita lawan-lawan (saling berlawan) cakap, saya ingat (keadaan) jadi makin tegang, dalam PAU sudah disebut, jadi biarlah keadaan itu begitu (buat masa sekarang) dan ada kaedah dan caranya (menangani),” jelas beliau lagi.

Pada Sabtu, Presiden Bersatu yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, menyatakan pendirian UMNO untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu pada PRU15 disifatkan sebagai sebuah realiti politik yang harus dihadapi.

Muhyiddin memaklumkan, pihaknya mengambil maklum mengenai perkara terbabit dan bersedia sekiranya Bersatu terpaksa berhadapan dengan UMNO dalam PRU15.

Dalam perkembangan sama, UMNO, kata Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, akan mempertahankan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang parti itu menangi pada pilihan raya umum yang lalu.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata,keputusan itu seperti yang diputuskan secara sebulat suara dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO tahun lalu.