SUNGAI SIPUT: MIC akan berbincang dengan kepimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) berhubung penambahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak kepada parti itu, yang berpotensi tinggi untuk menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Presidennya Tan Sri SA Vigneswaran berkata, ekoran itu, beliau sendiri telah bertemu dengan Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi membincangkan kewajaran penambahan kerusi DUN kepada MIC.

Ujarnya, jika perkara itu dapat dipenuhi, maka secara tidak langsung ia memberikan manfaat kepada kerajaan BN kelak.

"Kalau di Perak, untuk Parlimen (tambah kerusi), saya rasa tiada. Tetapi kerusi DUN, saya secara peribadi telah berjumpa dengan Ahmad Zahid dan memberitahu beliau bahawa MIC kena juga diberikan kerusi yang boleh menang.

"Sekurang-kurangnya satu atau dua kerusi. Tiada guna jika kerusi yang kita dapat itu sudah dijangka akan kalah pada PRU.

"Beliau (Ahmad Zahid) memang faham, kerana kehadiran seseorang pemimpin India dalam exco kerajaan memang mustahak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir Program Bantuan Rakyat sempena Aidilfitri bagi Parlimen Sungai Siput, di sini, hari ini.

Vigneswaran menjelaskan, perbincangan bersama kepimpinan BN itu akan diadakan tidak lama lagi, selewat-lewatnya selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.

"Kerusi yang kita minta itu, bukan buta-buta minta untuk katakan itu kerusi tradisi atau sebagainya.

"Kita mahu menang kerusi itu bukan hanya untuk MIC sahaja tetapi kena menang untuk pastikan BN terajui Kerajaan Persekutuan," katanya lagi.

Dalam pada itu, ditanya sama ada beliau akan bertanding di Parlimen Sungai Siput pada PRU akan datang, beliau seakan-akan memberikan gambaran berhubung perkara itu.

"MIC akan bertanding di sini (Sungai Siput), kemungkinan sayalah. Tetapi kalau saya tiada pun, orang lain akan bertandinglah," katanya.

Beliau turut mengakui parti berkenaan sudah mengenal pasti kawasan yang bakal ditandingi pada PRU15.

Bagaimanapun, menurutnya, keputusan muktamad hanya akan diambil setelah mengadakan perbincangan bersama BN di peringkat kebangsaan.

"Kita telah pelajari di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor Bahru, kita ada tukar kerusi dan menang satu kerusi. Satu lagi kerusi, 136 undi kita kalah.

"Kerusi-kerusi tradisi ada juga kita akan bertanding kerana pemikiran rakyat sekarang berbanding tahun 2018 memang sudah banyak berubah," tambahnya.