Kestabilan ekonomi sesuatu negara itu adalah berdasarkan kestabilan politik kerajaan yang menerajui negara tersebut.

Ini yang disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan ketika berucap pada Taklimat Penyelidikan Global Standard Chartered 2018.

Katanya, pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang bakal tiba tidak lama lagi memerlukan negara yang mempunyai kerajaan yang kukuh dan berpengalaman.

“Bahang berpolitik dijangka berlaku dalam masa tiga hingga empat bulan dari sekarang. Kerajaan yang kukuh bakal mencerminkan pertumbuhan ekonomi yang bagus.

“Apa yang komuniti bisnes mahukan ialah kestabilan dari segi polisi ekonomi. Seperti yang dikatakan, kami (Barisan Nasional) sudah memberikan kestabilan kepada ekonomi di Malaysia.

“Jika BN menang untuk PRU14, kami menjanjikan untuk terus mengekalkan kestabilan ekonomi di negara ini,” katanya ketika ditemui pemberita, di ibu negara, hari ini.

Ketika ditanya tentang momentum pengukuhan ringgit yang dibuka tinggi pada Khamis berbanding dolar AS, beliau berkata prinsip asas ekonomi terbukti berjaya bukan sahaja mengukuhkan mata wang ringgit, malah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bertambah baik dan melebihi jangkaan.

Dalam pada itu, pada 9.00 pagi, ringgit berada pada paras 3.9010/9040 berbanding dolar daripada 3.9110/9140 pada penutupan Rabu.