"Buat masa ini, saya ketuai pembangkang."

Itu jawapan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila ditanya tentang posisi Ketua Pembangkang ketika ini.

"Pakatan Harapan ada 92 wakil dan telah membuat keputusan berdasarkan parti yang masih ada iaitu DAP, Keadilan dan Amanah.

"Bagi Pakatan Harapan, ia masih sama, sayalah ketua. Namun, kami akan terus bekerjasama dengan pemimpin dari parti pembangkang yang lain," katanya dalam sesi temu ramah Consider This pada Isnin malam.

Sebelum ini, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan beliau akan duduk di blok pembangkang ketika sesi Parlimen kali ini.

Ini menjadikan beliau bekas Perdana Menteri kedua yang pernah duduk di blok pembangkang selepas Datuk Seri Najib Tun Razak.