AYER KEROH: Tindakan Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh secara rasmi membubarkan Dewan Undangan Negeri Melaka Keempat Belas hari ini disifatkan sebagai tindakan gopoh dan tergesa-gesa.

Demikian pandangan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Melaka, Datuk Halim Bachik dalam kenyataan media pada Selasa.

Ujar Halim, tindakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka itu jelas melanggar etika sebagai ahli politik yang meletakkan kepentingan rakyat di belakang ketika tempoh pandemik ini.

"Saya mengikuti secara dekat kenyataan media oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka merangkap Pengerusi Perhubungan UMNO negeri Melaka, Datuk Seri Abdul Rauf yang telah secara rasminya membubarkan Dewan Undangan Negeri Melaka pada hari ini.

"Tindakan yang gopoh dan tergesa-gesa ini sudah pasti akan memberi kesan yang buruk dan demi survival politik, kepentingan rakyat telah diketepikan," katanya lagi.

Tambah Halim, PKR Melaka akan sentiasa bersama gabungan Pakatan Harapan (PH) untuk memastikan demokrasi di negeri itu terus hidup dan tidak dieksploitasi oleh mana mana pihak.

Terdahulu, Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam bersetuju membubarkan DUN Melaka Keempat Belas berkuat kuasa pada Isnin.

BACA: DUN Melaka dibubar - Speaker

Perkara itu dimaklumkan Ab Rauf dalam sidang media pada petang Selasa.

Jelasnya, keputusan itu dibuat Tun Mohd Ali selepas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali telah mengutuskan surat kepadanya berhubung empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang hilang kepercayaan kepada Ketua Menteri.