SHAH ALAM: Cadangan supaya Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dibubarkan dan ahlinya menyertai parti politik Melayu dalam Perikatan Nasional (PN) adalah tidak berasas.

Ketua Penerangannya, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, meskipun didakwa sebagai pemecah undi dan dianggap memiliki pengaruh kecil, parti tersebut mempunyai peranan besar kerana berusaha menyatukan pergerakan konservatif yang lain semenjak sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Jelas beliau, usaha tersebut mendapat respons dingin daripada rakan politik sealiran.

“Risau untuk bergabung kerana kedudukan kerusi masing-masing? Kalau begitu, jangan berani laung kononnya hendak menjaga hak orang Melayu, bangsa serta agama lain. Negara hanya terjamin oleh gabungan yang besar, kuat dan stabil.

“Apabila ada unsur mainan politik kedudukan dan kerusi serta kepentingan peribadi maka jadilah seperti Pakatan Harapan (PH) 1.0, PN di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta PH 2.0 pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Langsung tidak stabil,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Jumaat

Sebelum ini, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pejuang wajar dibubarkan dan ahlinya disarankan untuk menyertai parti di bawah gabungan PN.

Ujar beliau, langkah tersebut dilihat lebih baik berbanding membiarkan lebih banyak kewujudan parti kecil yang akan menimbulkan masalah pada masa akan datang.

Dalam pada itu, Muhammad Rafique menyatakan meskipun Pejuang belum mendapat sokongan meluas dalam kalangan rakyat kini, ia bukan bermaksud perjuangan mereka akan berakhir.

“Bukankah jelas sehingga kini dan dengan izin ALLAH, Pejuang masih lagi bersih putih berseri bak benderanya yang berkibar di setiap pelusuk Negara? Rakyat akan menilai serta kita akan biarkan mereka menilai,” kata beliau. - Sinar Harian