KUALA LUMPUR : Kesemua 18 ahli Dewan Rakyat dari Pas bersetuju untuk menyokong Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri seterusnya.

Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perkara itu telah dipersetujui selepas delegasi pimpinan parti yang beliau ketuai, selesai mengadakan pertemuan dengan pemimpin UMNO dan Barisan Nasional di Menara Dato Onn hari ini.

“Tiada isu lagi. Semua (18) Ahli Parlimen PAS sokong Datuk Seri Ismail. Kami telah menandatangani surat akuan (SD),” katanya ketika ditemui media di lobi Menara Dato Onn, hari ini

Terdahulu, beberapa pemimpin kanan PAS dilihat memasuki perkarangan Ibu Pejabat UMNO itu, pada pagi ini.

Antara pemimpin yang kelihatan selain Tuan Ibrahim Tuan Man, turut kelihatan ialah Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Naib Presiden PAS Idris Ahmad, dan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali.

PM ke-9 | Semua 18 ahli Parlimen Pas sokong Ismail Sabri


 


Politik | Pimpinan BN dan Pas adakan pertemuan

BACA LAPOR LANGSUNG: PEMBENTUKAN KERAJAAN BAHARU, SIAPA PM KE-9?


Sebagai rekod, tiga daripada mereka merupakan Ahli Jemaah Kabinet sebelum Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri ke-8 pada 16 Ogos lepas.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan mendedahkan, calon pertama pilihan UMNO ialah Presiden mereka sendiri iaitu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi diikuti Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ismail Sabri, selaku Naib Presiden UMNO.

“Presiden telah putuskan untuk tarik diri dari dicalonkan dalam Mesyuarat Biro Politik, dan pada mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi semalam beliau tidak mahu dicalonkan.

“Yang kedua dalam senarai itu ialah Mohamad tetapi beliau tidak penuhi kriteria sebab beliau cuma Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). Yang berikutnya ialah Ismail Sabri.

"Beliau Menteri Kanan dan menjadi Timbalan Perdana Menteri dalam kerajaan sebelum ini. Oleh itu, beliau jadi calon paling layak,” katanya lagi.

Semalam, media melaporkan, 41 Ahli Parlimen Barisan Nasional bersetuju untuk mencalonkan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri.

Bagaimanapun, seorang Ahli Parlimen BN dilaporkan tidak menandatangani surat akuan itu, iaitu Tengku Razaleigh Hamzah.


Astro AWANI
Astro AWANIAstro AWANIAstro AWANIAstro AWANI