KUALA LUMPUR: Antara karakter penting bagi individu yang bakal menjadi Perdana Menteri ke-9 ialah kemampuannya membawa kepastian dalam setiap aspek pentadbiran negara.

Pengarah Inovasi Sosial dan Perubahan (SLAS) Taylor's University, Anas Zubedy berpendapat, inilah antara sebabnya mengapa seorang Perdana Menteri itu perlu mendapatkan keabsahan di Parlimen, seperti yang dititahkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, semalam.

"Karakter beliau, tak banyak cakap tak mengapa tetapi yang penting banyak buat kerja. Kita tak mahu orang yang banyak cakap tetapi apabila buat kerja, beliau tidak lakukan dengan efektif, jitu dan klinikal berdasarkan metodologinya.

"Sebagai Perdana Menteri, kita harap beliau akan pilih pemimpin yang boleh menyokong dan menolongnya dalam tugasan, mereka yang cekap, efektif, cekap dan efisien.

"Kita mahukan kumpulan pemimpin yang fokus pada kerja mereka, bukan sahaja dalam melawan pandemik tetapi juga membantu dalam aspek perpaduan rakyat.

"Kita perlu seorang yang mampu mencari jalan bagi meredakan pertelingkahan antara pemimpin serta penyokong. Kita tengok di media sosial hari ini, keadaan sudah teruk, tak ada lagi rasa hormat dan saling mencaci," katanya kepada Astro AWANI.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Pembentukan kerajaan baharu, siapa PM ke-9?

Politik | Ismail Sabri masuk ke Istana Negara

Politik sihat, khususnya untuk tempoh setahun ke hadapan, kata Anas, dinilai berdasarkan penglibatan ahli politik dengan rakyat di bawah jagaan mereka dan bukannya permainan politik.

"Selain fokus perang melawan pandemik, ahli Parlimen kena turun padang. Ini sahaja tugas mereka dalam setahun ini, jangan fikir nak berpolitik.

"Pastikan rakyat di kawasan mereka, sekurang-kurangnya cukup makanan. Bantu yang perlu dibantu. Yang sakit, bawa pergi rawatan. Yang tak ada kerja, tolong carikan mereka kerja.

"Mereka perlu ada laporan bulanan, berapa ramai orang susah dalam kawasan mereka, apa yang sudah dilakukan untuk membantu. Tak cukup peruntukan, boleh cari. Kita ada banyak NGO, syarikat-syarikat besar yang tidak berkira untuk menghulurkan bantuan.

"Nak bertelagah, nak lawan sesama sendiri (ahli politik), tunggu masa Plihan Raya Umum ke 15 nanti," ujarnya.


Situasi Politik | PM & Kabinet Baharu: Bina Malaysia lebih baik (Bahagian 2)