KUALA LUMPUR: Beberapa pemimpin kanan Pas dilihat memasuki pekarangan ibu pejabat UMNO di Menara Dato Onn, di sini, pagi ini.

Antara pemimpin yang kelihatan ialah Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan, dan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali.

Ketiga-tiga mereka merupakan ahli jemaah Kabinet sebelum Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan sebagai Perdana Menteri ke-8 pada 16 Ogos lalu.

Namun tidak dapat dipastikan sama ada pertemuan ini adalah mesyuarat Muafakat Nasional secara rasmi, atau sekadar pertemuan antara pimpinan kedua-dua parti bagi membincangkan urusan berkaitan calon perdana menteri seterusnya.

Sementara itu, perbicaraan 1MDB melibatkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang dijadualkan 10.45 pagi ini, telah ditangguhkan ke jam 2.30 petang, selepas Ahli Parlimen Pekan itu memohon kebenaran untuk menghadiri mesyuarat di Menara Dato Onn.

BACA: Bicara kes 1MDB ditangguh 2.30 petang, Najib perlu hadir mesyuarat penting BN

Hakim Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan penangguhan itu, atas alasan, ia melibatkan kepentingan negara.

“Saya cuma ingin merekodkan di sini, untuk mengelakkan sebarang keraguan, bahawa saya membenarkan permohonan tertuduh, selepas mengambil kira kepentingan berhubung isu semasa yang sedang negara hadapi.

“Dan saya ambil maklum kepentingan mesyuarat (BN) ini dapat mencapai sesuatu resolusi,” kata beliau sebelum menangguhkan perbicaraan.

Semalam, media melaporkan, 41 Ahli Parlimen Barisan Nasional bersetuju untuk mencalonkan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri.

Bagaimanapun seorang Ahli Parlimen BN dilaporkan tidak menandatangani surat akuan itu, iaitu Tengku Razaleigh Hamzah.