KUALA LUMPUR : MCA yakin pemilihan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) atau 'poster boy' akan menyatupadukan semua pihak dalam Barisan Nasional (BN).

Presidennya, Datuk Seri Wee Ka Siong itu berkata, ia sekali gus akan memastikan BN dilihat sebagai satu pasukan yang kuat kerana mempunyai kesepakatan bersama.  

"Keputusan yang dibuat oleh MKT UMNO semalam memang disambut baik oleh pihak MCA kerana sebagai parti komponen dalam BN sudah tentu kita akan melihat satu pasukan yang mantap dan kuat untuk kita beri keyakinan kepada rakyat bahawa kita memang serius bersiap-siaga untuk mendapat mandat lebih besar daripada rakyat.

"Saya yakin pemilihan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri atau 'poster boy' akan memberikan suntikan semangat dan menyatupadukan semua pihak serta menampakkan BN sebagai satu entiti yang kuat dan mempunyai konsensus sama ada inter party atau intra party," katanya semasa dihubungi Astro AWANI pada Jumaat.

BACA: MKT UMNO cadang Ismail Sabri calon PM untuk PRU-15

BACA: Pemilihan Ismail Sabri sebagai PM jadikan BN lebih utuh pada PRU15 - Sivaraj


Langkah itu juga akan memastikan BN sebagai satu pasukan yang utuh dan seterusnya mengembalikan kegemilangan parti selepas mengalami kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Saya menyambut baik keputusan dibuat MKT UMNO semalam dan saya percaya ia telah diperhalusi dan dianalisa dengan mendalam. Ini menunjukkan bahawa dalam parti UMNO sendiri, sudah ada konsensus bersama.

"Ini menampakkan kita sebagai satu pasukan yang lebih utuh, kuat untuk kita mengembalikan kegemilangan BN kerana PRU15 ini  adalah cabaran yang besar bagi kita sebab kita sudah kalah teruk dalam PRU14. Maka untuk bersiap-siaga pada PRU15, kita perlu rapatkan saf," tambahnya.

Justeru katanya, MCA menghormati keputusan yang dibuat UMNO dan beliau percaya hasil keputusan Majlis Kerja Tertinggi parti itu dibuat melalui perbincangan yang mendalam.

"Keputusan yang dibuat MKT UMNO itu sangat signifikan untuk menunjukkan kita serius dan kita sepakat sesama kita. Ini adalah dari perspektif UMNO.

"Dalam masa sama, kita bertanding atas tiket BN, dan sebagai parti komponen, MCA akan terus menyokong apa jua keputusan dibuat," tambah beliau.

Mengulas mengenai sokongan pengundi kaum Cina susulan pencalonan tunggal Perdana Menteri itu, Ka Siong berkata, mereka boleh membuat perbandingan antara Kerajaan BN dan Kerajaan parti lawan sebelum ini dari segi kemahiran dalam pemerintahan dan kemampuan dalam menggubal dasar yang menguntungkan.

"Memandangkan Perdana Menteri sekarang telah menerajui kepimpinan Kerajaan hampir 7, 8 bulan, saya yakin rakyat telah menilai dan apa yang dapat kepimpinan BN dan Perdana Menteri perlihatkan ialah dalam PRN Melaka dan Johor khususnya.

"Ini memberikan suntikan semangat dan motivasi kepada BN di mana kita perlukan satu pasukan mantap, kerjasama sesama kita, dan UMNO telah ambil tindakan untuk menamakan Perdana Menteri sekarang sebagai poster boy. Keserasian itu yang diharapkan rakyat juga" ujarnya.

BACA:  PBRS sokong penuh keputusan MKT UMNO calonkan Ismail Sabri sebagai PM

BACA: Calon PM pada PRU15: Ismail Sabri bersyukur, sambut baik keputusan MKT UMNO