Penyandang kerusi Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad menafikan sudah menerima 'berita baik' daripada pucuk pimpinan parti, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung pemilihan calon Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Sebaliknya, beliau melihat perkara itu masih terlalu awal dan pertemuan ahli parlimen BN yang lain dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada pagi tadi hanya sesi penghargaan kepada wakil rakyat parti itu.

"Apa dia berita baik untuk saya tu? Belum sampai ke situ. Masih terlalu awal lagi kan. Pertemuan tadi hanya taklimat biasa," katanya kepada media di luar Kompleks Seri Perdana di sini hari ini.

Shahrir yang juga Pengerusi Felda adalah antara individu yang disebut-sebut bakal bertanding sebagai calon PRU14 mewakili BN.

Malah, Perdana Menteri semasa pertemuan tertutup dengan perwakilan UMNO Bahagian Johor Bharu, telah meminta Shahrir sekali lagi bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Johor Bahru.