GEORGE TOWN: Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan terdapat cubaan dalaman untuk menyingkirkan beliau sebagai Ketua Menteri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Beliau yang juga Pengerusi DAP negeri berkata belum membaca mengenai laporan portal berita tersebut justeru adalah tidak adil untuk beliau menjawab tanpa mengetahui isu yang diperkatakan.

"Saya akan jawab tetapi bukan hari ini, kalau nak jawab tapi tak baca lagi, nak jawab juga ia tidak adil, maka saya akan jawab apabila sampai masanya," katanya di sini hari ini.

Bagaimanapun ketika ditanya mengenai kemungkinan terdapat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan negeri yang  tidak berpuas hati dengan pentadbirannya, beliau memberitahu tidak mengetahuinya.

Katanya, sepanjang menjadi Ketua Menteri, tidak ada mana-mana ADUN kerajaan negeri yang menunjukkan rasa tidak puas hati mereka terhadap pentadbirannya.

"Saya tidak tahu siapa yang tidak berpuas hati dengan saya, mereka tidak pernah menyuarakan dan menunjukkan ketidakpuasan hati di hadapan saya," katanya lagi.

Beliau  berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah portal berita yang mendakwa kononnya terdapat desakan dari dalam DAP untuk menyekat beliau daripada kembali menjadi Ketua Menteri selepas PRN akan datang.

Laporan tersebut mendakwa, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng bakal kembali menerajui kerajaan negeri selepas mendakwa Kon Yeow dilihat tidak berkesan sebagai Ketua Menteri.

Sementara itu ditanya sama ada Guan Eng masih berpeluang menjadi Ketua Menteri semula sekiranya menang pada PRN nanti, Kon Yeow berkata, pindaan perlembagaan negeri dengan jelas memasukkan dasar baharu yang mana seseorang itu tidak boleh dilantik sekiranya pada bila-bila masa pernah berkhidmat sebagai Ketua Menteri selama dua penggal.

"Tetapi pada 2018 ada pindaan dengan memasukkan sub klausa baharu, yang menyatakan Yang Dipertua perlu melantik, tetapi orang yang dilantik itu tidak boleh dilantik sekiranya bila- bila masa pernah berkhidmat sebagai Ketua Menteri untuk dua penggal, telah berkhidmat sebagai KM untuk dua penggal, itu pindaan yang dibawa ke DUN dan diluluskan oleh Dewan," katanya lagi.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata fokusnya kini adalah untuk memastikan PH menang terlebih dahulu pada PRN akan datang dan tindakan seterusnya berhubung jawatan Ketua Menteri hanya akan diputuskan selepas itu.