TAPAH:Konvensyen MIC yang sepatutnya berlangsung di seluruh negara bermula hari ini sehingga 8 Oktober depan, ditangguhkan serta-merta berikutan penularan wabak COVID-19 yang semakin membimbangkan di negara ini.

Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan berkata arahan itu dikeluarkan presiden parti, Tan Sri SA Vigneswaran, sebagai langkah berjaga-jaga.

"Hari ini, sepatutnya konvensyen MIC berlangsung di Perak, Kedah dan Perlis tetapi ia ditangguhkan. Kesemua mesyuarat di peringkat negeri dan pusat turut ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian," kata Saravanan yang juga Menteri Sumber Manusia.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tapah bercakap kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutupan Program Penjana Inisiatif Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) Pembangunan B40 Kursus Asas Jahitan Pengenalan dan Kursus Penggunaan Mesin Jahit Tepi di Dewan Merdeka di sini, hari ini.

Semalam, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan semua mesyuarat serta persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda, Puteri dan Bahagian UMNO ditangguhkan susulan peningkatan kes COVID-19 berkuat kuasa serta-merta.