KUALA LUMPUR: Sebarang usaha menjatuhkan kerajaan sedia ada akan menyukarkan tugas duta-duta di luar negara untuk meyakinkan pelabur kerana negara dilihat tidak stabil, kata Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS), Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Bercakap kepada Astro AWANI, Mohamed Nazri menjelaskan, menjadi tugas duta-duta untuk membantu kerajaan meyakinkan pelabur agar melabur di Malaysia.

Menurut beliau, pelabur-pelabur di luar negara sangat mementingkan kestabilan sebelum membuat pelaburan di mana-mana negara di dunia.

“Saya menyokong penuh titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berhubung kepentingan mengekalkan kestabilan kerajaan.

“Saya bercakap atas kapasiti sebagai Duta Besar ke AS, bukan sebagai ahli politik.

“Saya percaya duta-duta Malaysia di negara lain juga bimbang jika ada usaha menjatuhkan kerajaan kerana negara tidak stabil dan pelabur tidak berminat untuk datang ke negara kita.

“Saya bertemu pelabur-pelabur di Amerika ini dan mereka sangat menekankan soal kestabilan sesebuah kerajaan sebelum pergi melabur di mana-mana negara,” katanya.

Dalam masa sama, Mohamed Nazri juga menjelaskan, beliau bertemu ramai diaspora Malaysia di AS yang menyatakan sokongan penuh terhadap usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu menghapuskan rasuah.

Kata beliau, kebanyakan diaspora Malaysia di negara itu juga mahu kerajaan sedia ada ini kekal selama satu penggal bagi mewujudkan kestabilan.

“Mereka ini biarpun berada di luar negara tetap mengambil berat soal kestabilan Malaysia.

“Semua yang saya temui menyokong usaha Perdana Menteri yang mahu menghapuskan rasuah.

“Malah ada antara mereka menyifatkan Ahli-Ahli Parlimen yang mahu menjatuhkan kerajaan hari ini bertindak demikian mungkin kerana ada terlibat dengan isu rasuah,” katanya lagi.

Sehubungan itu, Mohamed Nazri menasihatkan Ahli-Ahli parlimen agar menghormati Kerajaan Perpaduan yang telah diputuskan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Tegas beliau, Ahli-Ahli Parlimen perlu membuktikan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong dengan bersama menjaga kestabilan negara dan tidak berusaha menjatuhkan kerajaan.

“Kita kena ingat kerajaan hari ini dibentuk mengikut Perlembagaan negara selepas tidak ada mana-mana parti atau gabungan yang dapat menubuhkan kerajaan.

“Jadi Yang di-Pertuan Agong telah menjalankan tugas mengikut Perlembagaan dengan menasihatkan sebuah Kerajaan Perpaduan ditubuhkan dan Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri.

“Ahli-Ahli parlimen perlu membuktikan kepada rakyat bahawa mereka taat kepada raja dan menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong yang mahukan kerajaan yang stabil,” katanya.

Pada Rabu, Sultan Ibrahim menyuarakan kebimbangan susulan desas-desus berhubung isu kestabilan kerajaan yang terus kedengaran meskipun sudah enam bulan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berlalu.

Sultan Ibrahim menitahkan supaya rakyat, ekonomi, kesejahteraan dan kemakmuran negara seharusnya perlu diutamakan.