KUALA LUMPUR :Dakwaan mengatakan 42 plot tanah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah terjual dalam tempoh Tan Sri Annuar Musa berkhidmat sebagai Menteri Wilayah Persekutuan disifatkan tuduhan tidak benar.

Setiausaha Akhbarnya, Tun Faisal Ismail Aziz berkata, sehubungan itu Ahli Parlimen Ketereh berkenaan akan mengadakan sidang media pada Khamis bagi menjawab tuduhan itu.

“Fitnah daripada DAP. Esok ada PC (sidang media) untuk jelaskan berkaitan perkara ini,” katanya kepada Astro AWANI.

Kenyataan itu dikeluarkan Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai dalam sidang media di lobi Parlimen pada Rabu seperti dilaporkan sebuah portal hari ini.

Dalam laporan berkenaan, Kok Wai turut mempersoalkan status penjualan tanah itu termasuk sama ada ia dilakukan mengikut peraturan.

“Daripada 42 plot tanah tersebut, empat melibatkan kawasan saya.

“Walaupun merupakan wakil rakyat di kawasan itu, saya tidak tahu apakah ada tender terbuka atau berapa harga plot yang telah dijual,” dakwanya seperti dilaporkan Malaysiakini.

Sidang media pada Rabu itu turut dihadiri ahli Parlimen lain di Kuala Lumpur, antaranya Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa), Fahmi Fadzil (Lembah Pantai), Tan Yee Kew (Wangsa Maju), Lim Lip Eng (Kepong), Hannah Yeoh (Segambut ) dan Fong Kui Lun (Bukit Bintang).

Mereka secara bersama mendesak Annuar untuk menjelaskan satu lagi isu yang ditimbulkan oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Umum (PAC) terhadap 97 plot tanah DBKL yang telah terjual sejak 2011.

Sementara itu, Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) sedang mengkaji untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Pengerusi PAC, Wong Kah Woh berhubung kenyataan yang dikeluarkan beliau.

Menerusi laporan portal Wilayah Ku, Ketua Pegawai Undang-undang YWP, Mohd Fadzil Ab Hamid berkata, pihaknya sedang melihat kemungkinan untuk mengambil tindakan perundangan berhubung dakwaan Ahli Parlimen DAP Ipoh Timur itu.

katanya, dakwaan YWP terlibat dalam urus niaga meragukan yang melibatkan 97 tanah DBKL yang dijual kepada syarikat swasta adalah tidak benar.