Barisan Nasional (BN) dan UMNO disaran agar mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan Selangor dan Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali susulan tuduhan mengaitkan parti itu dengan masalah pencemaran Sungai Semenyih.

Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata cubaan pembangkang mengaitkan nama BN dan UMNO dengan dakwaan unsur sabotaj adalah keterlaluan.

"Sehubungan itu saya akan menyarankan BN dan UMNO untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas kerajaan negeri Selangor atas kenyataan tersebut (unsur sabotaj).

"Pembangkang harus fokus terhadap menyelesaikan masalah bekalan air dan pencemaran air dan bukannya membuat tuduhan liar kepada pihak lain pula, ternyata mereka gagal berkhidmat kepada rakyat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvesyen MCA negeri Selangor 2016 di Wisma MCA, di sini hari ini.

Mohamed Azmin sebelum ini dilaporkan berkata terdapat bukti mengenai pencemaran air di Sungai Semenyih yang menunjukkan 'kecenderungan unsur sabotaj' oleh BN dan UMNO untuk melemahkan kerajaan negeri memandangkan pilihan raya sudah hampir.

Liow berkata kerajaan negeri Selangor harus bersikap bertanggungjawab menyelesaikan isu pencemaran air di Sungai Semenyih serta bekalan air di negeri itu dengan segera dan bukan menuding jari ke pihak lain.

Katanya Selangor yang mengalami lebih lima kali gangguan bekalan air dalam masa sebulan sekaligus membuktikan kerajaan negeri gagal menyelesaikan masalah itu dengan segera dan lebih gemar menjadikannya sebagai modal politik.

Katanya selain isu air, banyak lagi isu semasa membabitkan kerajaan negeri yang menyusahkan rakyat antaranya ialah isu kenaikan cukai tanah, cukai pintu dan pelbagai lagi.

"Sehubungan itu, saya menyeru rakyat Selangor khususnya komuniti kaum Cina untuk mengundi BN pada pilihan raya umum akan datang dan menolak pembangkang kerana mereka hanya pandai berjanji tetapi akhirnya gagal menunaikannya," katanya.

Mengenai kunjungan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke China, Liow yang juga Menteri Pengangkutan berkata:

"Saya sangat gembira saya akan menyertai perdana menteri bagi kunjungan ketiga ke China dan yakin akan terdapat banyak perbincangan berfaedah antara Malaysia dan China terutama mengenai pertumbuhan ekonomi."

Lawatan itu akan menyediakan lebih banyak peluang perniagaan antara kedua-dua negara bawah inisiatif China 'One Belt-One Road Initiative', kata Liow.

Beliau berharap lebih banyak penerbangan akan wujud antara Malaysia dan China yang boleh menarik lebih banyak pelancong China ke Malaysia.

Perdana Menteri akan melakukan lawatan rasmi ke China dari 31 Okt hingga 6 Nov atas jemputan Perdana Menteri Majlis Negara China, Li Keqiang.

Ia merupakan kunjungan rasmi ketiga Najib ke China sejak 2009. -- BERNAMA