SEREMBAN: DAP mengambil pendekatan bersabar dan akan membuat penjelasan berhubung kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mendakwa parti itu cuba menyebar dan mempromosikan Islamofobia.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menegaskan sekiranya ada tuduhan dan dakwaan oleh Abdul Hadi tersebut berunsurkan fitnah, DAP akan membuat laporan polis.

"Itu memang cuba melaga-lagakan DAP, sudah tentu apa yang kita capai sekarang ini, Kerajaan Perpaduan, mereka nak laga-lagakan.

“Kena bersabar dan kita akan buat penjelasan, namun kalau ada apa-apa perkara yang kami rasakan fitnah, maka kami akan buat laporan polis,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Persidangan Keempat (Belanjawan) Penggal Kelima DUN Negeri Sembilan Yang Ke-14 di sini pada Selasa.

BACA: Tuduh PM Anwar ejen Israel, polis buka kertas siasatan ke atas Abdul Hadi

Media pada Ahad melaporkan, Abdul Hadi melalui kenyataan mendakwa DAP bersikap melampau iaitu walaupun cuba menipu dengan menampilkan ahli, calon dan pemimpin daripada wajah Melayu Islam namun tidak boleh menghalalkan ideologinya yang bercanggah dengan Islam.

Dalam perkembangan lain, Anthony Loke yang juga ADUN Chennah sebelum itu, menjelaskan belum ada perbincangan secara menyeluruh mengenai lantikan Kabinet di peringkat Pakatan Harapan (PH).

Katanya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta setiap ketua parti untuk berbincang perkara tersebut malah bersedia untuk mendengar pandangan masing-masing. -- Sinar Harian