DAP hari ini menyatakan kekesalannya terhadap tindakan parti sekutunya, PKR dalam isu pertindihan pencalonan bagi enam kerusi dalam Pilihanraya Sarawak ke-11.

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke berkata PKR yang pada mulanya bersetuju untuk mematuhi kajian Merdeka Center mengenai parti mana yang lebih popular, kemudiannya gagal berbuat demikian.

Katanya, keputusan kajian Merdeka Center yang memakan kos sebanyak RM100,000 itu, menunjukkan bahawa DAP mempunyai kelebihan berbanding PKR dalam lima daripada enam kerusi tersebut dan PKR hanya mempunyai kelebihan di kerusi Mambong.

BACA: DAP akan tarik balik calon Batu Kitang, jika PKR tarik balik lima calon lain

BACA: Sarawak 2016: Proses penamaan calon berjalan lancar, BN menang 2 kerusi

“Walaupun keputusan kaji selidik Merdeka Center berpihak kepada DAP, pihak kami menawarkan ‘package deal’ kepada PKR dengan cadangan formula 3:8 iaitu DAP menyerahkan kerusi Batu Kitang, Marudi dan Machan kepada PKR dan DAP bertanding di lapan kerusi lain.

“Namun, persetujuan akhir yang dicapai pada 7 April adalah di mana Datuk Seri Azmin Ali serta Lim Guan Eng menandatangani satu nota bertulis, adalah DAP akan bertanding di lapan kerusi dan PKR pula lima kerusi.

“Kemudian, pihak PKR meminta ‘swap’ dua kerusi yang telah dipersetujui untuk DAP. Pihak DAP menegaskan sekiranya ada permintaan untuk membuka semula rundingan, maka DAP Sarawak akan meminta untuk merundingkan semula kerusi Batu Kitang. Justeru itu, tidak ada apa-apa perubahan yang dibuat terhadap persetujuan yang dicapai pada 7 April,” katanya dalam satu sidang media di ibu pejabat DAP di sini hari ini.

Beliau berkata, sehingga saat akhir (iaitu sehari sebelum pencalonan), masih ada permintaan daripada PKR untuk menukar kerusi yang sudah dipersetujui dan DAP mengambil keputusan untuk menolak kerana tidak mahu calon bertanding tanpa persediaan mencukupi.

“Kami amat kesal dengan tindakan PKR Sarawak yang tidak menghormati keputusan yang telah dicapai oleh pemimpin tertinggi kedua-dua parti dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan yang merupakan keputusan ‘menang-menang’ untuk PKR dan DAP,” katanya.

Pada penamaan calon semalam, pegawai pengurus pilihan raya di Sarawak mengumumkan PKR dan DAP akan bertarung antara satu sama lain di enam kawasan pilihanraya.

Kerusi terbabit adalah Batu Kitang, Mulu, Murum, Simanggang, Ngemah dan Mambong.

Lebih sejuta rakyat Sarawak bakal keluar mengundi pada 7 Mei depan.