KUALA LUMPUR: DAP tidak akan menerima atau menawarkan kerusi kepada mana-mana ahli politik yang melompat parti untuk menyertai parti tersebut.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menegaskan pendirian parti itu sangat jelas tentang ahli politik yang melompat parti.

Loke berkata DAP juga tidak akan membuka pintu kepada bekas-bekas pemimpin parti yang sebelum ini belot selepas Langkah Sheraton pada 2020.

"Norhizam, dia beritahu Utusan Malaysia bahawa dia buat persediaan untuk bertanding dalam PRU akan datang di bawah tiket UMNO atau DAP.

"Saya nak beritahu dia lupakanlah. DAP tidak akan terima katak. Kita akan buat polisi rasmi parti, kami tidak akan menerima mereka yang melompat sama ada mereka dari parti kami atau parti lain.

"Untuk kes Norhizam ini sudah jelas, dia lneompat keluar bila kita jatuh, jadi sekarang dia nak kembali, dia rasa selepas kalah dalam pilihan raya negeri, dia mahu platform, dia nak kembali, lupakan, kami beritahu lupakan, kami ada ramai calon yang bagus dan berkaliber," katanya pada sidang media di ibu pejabat DAP.

Beliau turut memberikan amaran sama kepada anggota DAP yang lain agar tidak bersikap seperti Norhizam dengan keluar parti.

“Kepada sesiapa yang nak melompat ke DAP, jika mereka dari parti lain, sama ada ahli Parlimen atau ADUN, polisi kita tetap sama, sebab itu kita nakkan Akta Antilompat Parti ini,” katanya lagi.

Loke menegaskan bahawa DAP tidak pernah mengiktiraf perbuatan lompat parti dan disebabkan itu parti berkenaan berharap agar Rang Undang-Undang (RUU) Akta Antilompat Parti disegerakan.

Dalam sidang media tersebut, Loke turut mengumumkan lima anggota Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP yang dilantik.

Mereka yang dilantik terdiri dari bekas ketua DAPSY, Howard Lee; bekas Adun Paloh Sheikh Umar Bagharib Ali; Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer; Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong dan Adun Bilut, Lee Chin Chen.

DAP juga jelas Loke menubuhkan Jawankuasa Persediaan Pilihan Raya PRU15 yang diketuai oleh Timbalan Setiausaha Agung DAP yang juga Adun Perling Liew Chin Tong dan dianggotai oleh Teresa Kok, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji, V.Sivakumar, Steven Sim dan Tei Nie Ching.

Selain itu, DAP turut menubuhkan Jawatankuasa Pemilihan Calon yang diketuai oleh Loke dan dianggotai oleh Pengerusi DAP Lim Guan Eng; Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh; Naib Pengerusi, M. Kulasegaran dan Nga Kor Ming.