GEORGE TOWN: DAP tetap dengan berpendiriannya akan hanya akan menjalinkan kerjasama dengan UMNO dalam hal  melibatkan kepentingan rakyat sahaja.

Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng menegaskan pihaknya tiada sebarang kerjasama politik dengan UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Guan Eng berkata, pihaknya sebelum ini senada dengan UMNO dalam menyatakan persetujuan agar sidang Parlimen diadakan bagi membahaskan permasalahan penularan pandemik COVID-19.

"Kita (DAP) tidak mempunyai masalah atau halangan untuk bekerjasama dengan UMNO jika ia melibatkan kepentingan rakyat dan bukannya atas dasar kepentingan parti.

"Contohnya, DAP bersetuju dengan UMNO yang mahukan persidangan Parlimen diadakan. Selain itu, kita juga berpendirian sama dengan UMNO dalam konflik di Myanmar dan Palestin," katanya pada sidang akhbar di Wisma DAP di sini pada Isnin.

UMNO-DAP | Tiada kerjasama politik, hanya kepentingan rakyat

Beliau mengulas pendirian DAP untuk bekerjasama dengan UMNO pada PRU15.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bagan itu turut berkata, DAP akan tetap membawa isu wakil rakyat parti itu yang bertindak melompat parti sehingga ke peringkat mahkamah meskipun perkara tersebut tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Tegasnya, kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang berprinsip tidak sepatutnya menyokong tindakan tersebut.

Malah kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan juga, jelasnya melanggar prinsip politik yang dipertahankan pemimpin-pemimpin Pas terdahulu.

"Kita akan pergi mahkamah. Sebagai sebuah parti kononnya menegakkan prinsip yang bersih, tidak akan ada sokongan untuk yang lompat parti, saya rasa itu tidak patut. Sepatutnya Takiyuddin pertahankan seperti Datuk Seri Nik Aziz pertahankannya," tambahnya.