DAP, dari dulu merupakan parti yang meletakkan kepentingan negara sebagai keutamaan, kata veteran parti tersebut, Lim Kit Siang.

Menurutnya, sepanjang 57 tahun berpolitik, Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu sentiasa menganggap dirinya sebagai anak Malaysia.

Pendirian tegasnya itu katanya sering diputar belit lawannya dan mendakwa dia sudah melepaskan identitinya sebagai orang berbangsa Cina.

“Saya mahu semua orang menganggap diri mereka, pertamanya sebagai rakyat Malaysia tanpa melepaskan identiti dan akar etniknya sama ada sebagai Cina, Melayu, India, Kadazan atau Iban,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa pelancaran buku “Lim Kit Siang – Patriot, Leader, Fighter” karya Pengarah Pendidikan Politik DAP, Liew Ching Tong di Skudai, Johor.

Tambah beliau, “Impian Malaysia” yang beliau tuliskan semasa zaman sekolahnya di Batu Pahat pada 1950 bukanlah menolak mana-mana kaum, sebaliknya menambah Cina, Melayu, India, Kadazan atau Iban ke dalam dimensi kebersamaan Malaysia.

“Tetapi itu hanya satu daripada banyak kempen menjatuhkan saya yang terpaksa saya hadapi dalam karier politik saya,” kata Kit Siang.

“Saya difitnah sebagai anti Melayu, anti Islam, anti Raja-Raja Melayu.

“Saya juga dituduh sebagai komunis dan punca rusuhan 13 Mei 1969 walaupun tiada siapa bertanya sama ada saya komunis atau punca rusuhan tersebut,” ujarnya.

Katanya lagi, sepanjang 57 tahun berkecimpung dalam politik, sudah tiga kali beliau mencadangkan moratorium politik untuk semua parti  bersama-sama menyelesaikan krisis melanda negara.

Pertamanya pada tahun 1969.

“Kali pertama adalah semasa saya ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang pertama apabila pada 5 Ogos 1969, saya menulis surat dari Pusat Tahanan di Muar kepada Perdana Menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman.

“Dalam surat tersebut, saya menyampaikan kepadanya kebimbangan saya berhubung masa depan Malaysia.”

Keduanya pula adalah pada tahun 1987.

“Kali kedua ialah sehari sebelum saya ditahan ISA buat kali kedua dan saya membuat cadangan itu di Parlimen semasa perbahasan Belanjawan 1988 pada 26 Oktober 1987 – sehari sebelum tangkapan besar-besaran Operasi Lalang.

“Saya mencadangkan moratorium satu tahun untuk semua parti politik di mana tiada isu perkauman, bahasa, budaya atau agama akan diwujudkan atau dibangkitkan supaya semua orang dapat menumpukan perhatian kepada keutamaan dan krisis negara untuk mencapai pemulihan dan pertumbuhan ekonomi.”

Ketiganya adalah hampir 35 tahun kemudian, pada tahun 2021.

“Kali ketiga adalah semasa pandemik COVID-19 apabila pada 17 Jun 2021, saya menyeru moratorium politik di mana hanya ada satu keutamaan negara - memastikan Malaysia memenangi perang melawan pandemik dan kematian tidak melebihi 5,000 kematian.”