Ahli UMNO yang mahu membantu PAS mengumpul dana bayaran kos guaman kes saman Sarawak Report diseru agar membantu kewangan parti sendiri yang kini dibekukan akaunnya.

Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Wangsa Maju, Rafi Awang Kechik dalam posting di akaun Facebooknya berkata jumlah RM331,000 yang diperlukan PAS terlalu kecil untuk dikutip derma, sebaliknya beberapa pemimpin parti itu boleh menyumbang bagi menampung kos tersebut.

"Kalau setakat RM331,000 itu, Haji Hadi, Nik Abduh, Mohd Amar, Takiyudin, Khairudin At-takiri, Nik Zawawi dan ramai lagi pemimpin PAS yang kaya boleh pakat 'tong-tong' (berkongsi) sikit... seorang pun lebih daripada itu boleh dapat.

"Baik ahli UMNO yang bersungguh nak bantu buat kutipan derma itu tolong bantu parti sendiri kerana akaun UMNO sampai hari ini kerajaan beku dan baru-baru ini pun ada pemimpin PAS kata UMNO pun nak mati dah.

"Baik selamat parti sendirilah," tulis Raffi.



Baru-baru ini, Naib Presiden PAS Idris Ahmad membuat rayuan umum untuk mengutip dana bagi menampung kos saman Sarawak Report di United Kingdom (UK).

Pada April 2017, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang memfailkan saman terhadap editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown berhubung tulisan pada Ogos 2016 yang mendakwa pimpinan parti itu menerima dana RM90 juta yang masuk ke akaun mereka.