KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen yang diberi mandat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak boleh mensia-siakan kestabilan politik dalam negara yang kini telah dipulihkan.

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli berkata, kestabilan politik diperlukan agar kerajaan boleh membuat keputusan yang sukar dalam keadaan ekonomi dunia dan tempatan yang mencabar.

"Sebab itu saya menjunjung kasih apabila Seri Paduka Baginda mencadangkan supaya parti-parti politik ini mengenepikan perbezaan dan mengusahakan satu Kerajaan Perpaduan untuk memberikan tumpuan membela rakyat dalam keadaan yang mencabar ini.

"Sebab itu akhir sekali saya berharap kepada Yang Berhormat Tambun (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Larut (Datuk Seri Hamzah Zainudin), semua ahli Dewan Rakyat dan yang diberi peluang sebagai menteri, bahawa kita tidak boleh mensia-siakan kestabilan politik yang kini telah kembali dengan sokongan dua pertiga," katanya ketika membahaskan usul undi percaya di Dewan Rakyat pada Isnin.

Berbahas lagi, Timbalan Presiden PKR itu berkata, Malaysia juga perlu beralih daripada landasan ekonomi berasaskan komoditi dan perkilangan bernilai rendah kepada ekonomi abad ke-21 yang berteraskan digital, teknologi, nilai tambah, kreativiti serta inovasi.

Tambah beliau, penting untuk Malaysia membina ekosistem ekonomi yang adil untuk pekerja dan diberi upah setimpal dengan kelayakan serta pengalaman agar negara mempunyai peluang mobiliti serta kebolehpasaran sehingga ke peringkat antarabangsa.

"Kita sudah berada dalam keadaan yang betul-betul mencabar, contohnya sekitar dua peratus daripada jumlah syarikat atau perusahaan yang ada di negara ini yang menyumbang kepada 60 peratus ekonomi melalui keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Ini bermaksud sebahagian besar syarikat tidak mampu menanggung dan menghadapi cabaran ekonomi," katanya.