BACHOK: Dewan Ulama Pas Kelantan hari ini meluluskan 10 usul termasuk mewujudkan pasukan petugas khusus kepada pengundi baharu berusia 18 tahun bagi menarik minat mereka agar peduli kepada agama dan negara.

Kesemua usul berkenaan diluluskan pada Muktamar Tahunan Dewan Ulama Pas Kelantan ke-50 di Kompleks Pendidikan Islam, di sini hari ini, yang dihadiri 115 ahli daripada perwakilan seluruh negeri.

Menjelas mengenai usul penubuhan pasukan petugas itu, Ketua Dewan Ulama Pas Kelantan Datuk Hassan Mohamood berkata pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti akan disertai pengundi baharu yang terdiri daripada golongan belia berumur 18 tahun dan ke atas.

Beliau berkata susulan itu, senario yang bakal terjadi ialah pertambahan jumlah pengundi yang dijangka mendadak di semua kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara.

"Angka yang kita peroleh daripada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ialah 5.8 juta pengundi muda seluruh negara. Bilangan tersebut tidak termasuk golongan dewasa yang selama ini tidak pernah mendaftar sebagai pemilih dalam PRU sebelum ini.

Dengan berlakunya situasi begini maka kita perlu pastikan pengundi muda yang akan mengundi dalam PRU15 nanti benar-benar memberi sokongan mereka. Malah, dengan adanya 'pasukan petugas' ini nanti sekurang-kurangnya ia dapat menarik minat mereka agar peduli kepada negara dan agama," katanya dalam ucapan pada muktamar itu.

Antara usul lain yang diluluskan adalah seluruh ahli Dewan Ulama Pas setiap kawasan dapat mengeluarkan infak RM1 untuk disumbangkan kepada Dewan Ulama Pas Negeri setiap bulan, selain menaikkan elaun pegawai halakat di seluruh negeri sesuai dengan tuntutan semasa.

Selain itu, usul yang diketengahkan juga adalah supaya Pas Pusat meluaskan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) merentasi parti politik agar PRU15 nanti hanya berlaku pertandingan antara dua penjuru sahaja.

Menyentuh mengenai perkembangan politik semasa, Hassan mengingatkan semua ahli Pas supaya mengamalkan sikap berlapang dada dan bersangka baik dengan UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sekiranya ingin meraih kemenangan pada PRU15.

Beliau turut berkata Pas sebagai sebuah gerakan Islam perlu berjiwa besar untuk menjadi pendamai dalam agenda perpaduan ummah, malah untuk memastikan kerajaan sekarang kekal memerintah, maka pendokong PAS perlu lebih bijaksana serta cermat dalam berhadapan dengan pelbagai situasi.

Muktamar Dewan Ulama Pas Kelantan ditangguhkan pada suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

-- BERNAMA