AYER KEROH: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali merayu rakyat di negeri ini memberi sokongan penuh kepada kepimpinan kerajaan negeri yang baharu termasuk Ketua Menteri yang bakal dilantik hari ini.

Katanya, sempena hari terakhir sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-12, beliau mengharapkan sokongan sama seperti diberikan kepadanya sebelum ini dapat diteruskan.

“Hari ini adalah hari terakhir saya memegang amanah mengetuai dan memimpin pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka sebagai Ketua Menteri Melaka ke-12 bermula dari 9 Mac 2020 yang lepas.

“Saya menyeru dan merayu kepada rakyat Melaka agar dapat memberikan kerjasama yang terbaik kepada barisan kepimpinan yang baharu, sama seperti yang telah diberikan kepada saya sebelum ini demi negeri Melaka yang tercinta,” katanya menerusi catatan di Facebook rasminya pagi ini.




Mengulas lanjut, beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih dan memohon maaf atas sebarang kekhilafan sepanjang memikul tanggungjawab sebagai ketua menteri.

“Saya ingin ingin menzahirkan penghargaan dan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada rakyat Melaka yang dikasihi, atas segala sokongan, dokongan, pandangan, cadangan mahupun kritikan yang diberikan sepanjang saya melaksanakan amanah tersebut.

“Saya juga menyusun sepuluh jari memohon kemaafan dan keampunan daripada rakyat Melaka yang dikasihi atas segala kelemahan, kesilapan, kesalahan dan kekhilafan sepanjang saya memegang amanah tersebut,” tambahnya.

Dalam masa sama, Sulaiman berharap rakyat negeri Melaka terus diberikan keselamatan, keamanan dan kemajuan sebagai sebuah negeri Baldatun Toiyibatun Warabbun Ghafur.

Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Melaka semalam mengesahkan Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Melaka akan diadakan hari ini.

SUK negeri, Datuk Zaidi Johari dalam kenyataannya berkata, Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam sudah menerima surat peletakan jawatan Sulaiman sebagai Ketua Menteri Melaka ke-12.

Sulaiman juga dilaporkan telah menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Rabu lalu.