SERDANG: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Perikatan Nasional (PN) komited untuk memperkukuhkan kerajaan sedia ada di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kata Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Justeru Azmin yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu menegaskan, beliau dan rakan-rakan seperjuangan dalam Bersatu dan PN mengambil tanggungjawab memperkukuhkan kerajaan yang ada.

Menurut Azmin, kerajaan sedia ada ini merupakan gabungan yang melibatkan komponen terbesar PN.

"Kerajaan hari ini mesti stabil dan adil, kalau tidak stabil atau lemah mana mungkin kita dapat uruskan dua perkara besar demi kepentingan rakyat.

“Kerajaan stabil dan kuat rakyat akan dapat manfaat dan negara kita akan makmur, Insya-Allah," katanya lagi.

Azmin berkata demikian dalam sidang media selepas menyaksikan Majlis Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Strategik anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Makanan diantara 22 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat ejen pemasaran antarabangsa di Taman Ekspo Pertanian malaysia (MAEPS) Serdang sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022, di sini, hari ini.

Turut menyaksikan majlis itu, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee.

Ditanya mengenai dakwaan nama beliau dikaitkan sebagai calon Timbalan Perdana Menteri (TPM) daripada Bersatu yang dikemukakan kepada Perdana Menteri, Azmin mengelak daripada menjawabnya.

Sebaliknya, Azmin yang juga Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, fokus beliau dan rakan-rakan dalam Bersatu hanya untuk memulihkan semula ekonomi dan menangani COVID-19.

"Saya nak tegaskan sekali lagi kerajaan hari ini memberi fokus dan komited untuk dua perkara penting... pertama kita komited untuk memulihkan dan mencerdaskan ekonomi negara, itu komitmen kita.

"Kedua, kita mahu menangani menguruskan COVID-19 lebih efektif, dasar kita ambil dua tahun lalu melihat satu pertumbuhan positif dari segi ekonomi, pelaburan dan perdagangan, malah kes baharu (COVID-19) pun sudah terkawal Alhamdulilah," katanya.

Mengulas lanjut, jelas Azmin, kerajaan yang dipimpin oleh Ismail Sabri merupakan kerajaan atas gabungan PN sebagai komponen terbesar.

Justeru, ujarnya kestabilan kerajaan perlu diutamakan agar rakyat terus menerima manfaatnya.

Malah kerajaan ketika ini tambahnya telah mewarisi dasar yang efektif dalam menangani isu ekonomi dan kesihatan.

"Kerajaan hari ini adalah kerajaan gabungan bukan satu parti seperti sebelum ini, antara gabungan parti terbesar adalah kerajaan PN.

"Maka apabila saya dan rakan saya bahawa tanggungjawab kita memperkukuhkan kerajaan bermakna kita nak perkukuhkan gabungan sedia ada.

"Kalau kita lemah, maka kerajaan PN lemah, adalah tanggungjawab saya pastikan kerajaan ini kuat supaya dapat tangani dua isu ini," katanya lagi.

Mengulas mengenai hubungan Bersatu dan UMNO yang dilihat semakin tegang ketika ini, ujar Azmin lagi, beliau lebih fokus kepada politik berorentasikan tindakan bagi kepentingan rakyat.

"Kita tak boleh terjebak dalam politik merugikan rakyat, saya mahu politik 'action oriented' dapat berikan khidmat kepada rakyat pastikan kita berjaya memenuhi dua matlamat mencerdaskan ekonomi dan tangani COVID-19,” tambahnya.