KUALA LUMPUR: Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad melahirkan rasa terkejut kerana Malaysia kini berada di belakang beberapa negara Afrika dari segi pembangunan.

Namun beliau dapat menerima hakikat bahawa Malaysia telah ketinggalan di belakang Indonesia dan Vietnam sejak kebelakangan ini.

Bekas perdana menteri itu dalam satu kenyataan hari ini turut menyentuh mengenai sebuah teknologi terkini yang disifatkannya dapat mencapai kecekapan dan mengehadkan rasuah.

“Sudah tentu kita sentiasa berada di belakang Singapura. Tetapi saya terkejut apabila mendapati bahawa kita juga berada di belakang beberapa negara Afrika.

“Kita tidak bersedia untuk menggunakan teknologi terkini bagi mencapai kecekapan dan mengehadkan rasuah.

“Kita menolak teknologi ini kerana ia mungkin mendedahkan salah laku ahli Parlimen,” katanya.

Namun Dr Mahathir tidak menyatakan apakah teknologi yang mencapai kecekapan dan boleh mengehadkan rasuah dalam negara.

Dr Mahathir mendakwa bahawa beliau diberitahu bahawa sekiranya negara ini menggunakan teknologi baharu ini, akan ada bantahan yang kuat daripada ahli-ahli Parlimen.

“Nampaknya ramai daripada mereka terlibat dalam perniagaan eksport dan import. Oleh itu, negara terus kehilangan banyak wang kerana kita menolak cara pengurusan yang lebih baik.

“Tetapi negara-negara Afrika menjimatkan berbilion-bilion kerana pengurusan mereka dan menggunakan peralatan baharu itu dengan lebih cekap. Mereka sudah mendahului kita.

“Sudah tentu kita tidak perlu berasa malu apabila dipintas oleh negara-negara Afrika. Bukankah kita telah diberitahu bahawa mencuri wang kerajaan bukanlah sesuatu yang patut kita malu,” katanya lagi.

Dalam nada sinis, Dr Mahathir menjelaskan teknologi baru itu tidak perlu digunakan kerana ia boleh mengakibatkan ahli Parlimen kehilangan wang.

"Biarkan sahaja negara bankrap. Hanya negara yang kehilangan wang. Anda tidak. Ia okay," katanya.