MELAKA: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen tampil menegaskan beliau tetap menyokong kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali di sebalik dakwaan kerajaan negeri bakal tumbang. 

Tegas Mohd Rafiq yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, beliau tidak terlibat dalam sebarang usaha menukar kerajaan negeri dan hanya memfokuskan pemulihan ekonomi serta kesihatan rakyat di negeri itu.

"Saya ada terbaca berita di media arus perdana dan media sosial berkenaan pergolakan politik dikatakan berlaku di Melaka.

"Ingin saya tegaskan di sini bahawa saya tidak terlibat dalam sebarang usaha menukar kerajaan negeri Melaka hari ini.

"Saya tetap dengan pendirian menyokong kepimpinan Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali sebagai Ketua Menteri Melaka sehinggalah Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Jumaat.


[TERKINI] Spekulasi politik Melaka, adakah bakal berlaku pertukaran kerajaan?

BACA: DUN Melaka bergolak: 'Perubahan pasti akan berlaku' - Ketua Menteri

BACA: DUN Melaka kini bergolak? Ini apa yang kita tahu setakat ini

Mohd Rafiq yang juga Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, beliau bagaimanapun bercakap atas kapasitinya sebagai ADUN Paya Rumput dan tidak boleh mengulas mengenai pendirian ADUN lain.

"Hari ini saya bercakap atas kapasiti ADUN Paya Rumput dan saya tidak boleh mengulas atas kapasiti ADUN-ADUN lain ketika ini.

"Saya tidak berminat terlibat sebarang usaha mencetuskan satu lagi krisis politik di negeri Melaka, selepas kita tahu berlakunya krisis politik di peringkat Pusat hasil tindakan pimpinan tertentu yang tidak bertanggungjawab," katanya lagi.

Untuk rekod, pada 2 Mac 2020, BN mengumumkan bahawa kerajaan negeri Melaka di bawah Pakatan Harapan (PH) tumbang selepas dua ADUN Bersatu iaitu Mohd Rafiq dan Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) keluar daripada gabungan itu.

Selain itu, ADUN DAP yang kini Bebas - Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee serta ADUN PKR Muhammad Jailani Khamis (Rembia) juga meninggalkan PH dan menyokong gabungan PN.

Hari ini, media melaporkan, spekulasi kini bertiup kencang mendakwa, kerajaan negeri Melaka yang diterajui UMNO bakal tumbang pada bila-bila masa.

Ini berikutan empat ADUN kerajaan dikatakan akan melompat ke PH dan difahamkan, keempat-empat ADUN berkenaan sudah menandatangani Akuan Bersumpah (SD).

Empat wakil rakyat yang disebut-sebut ialah Norhizam Hassan dan Noor Effandi, selain bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang) dan Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor).

Untuk rekod kerajaan Melaka dipimpin oleh Sulaiman selepas PN mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri daripada PH tumbang Mac tahun lalu.

Kerajaan negeri mempunyai 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala pembangkang pula 11.