KUALA LUMPUR : Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka terpaksa diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri berkenaan pada Isnin.

Namun, disebalik melihat peluang itu sebagai mentaati konsep demokrasi di dalam negara, pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Datuk Dr Mohamad Agus Yusoff berkata diharapkan PRN negeri itu tidak akan mencetuskan sebarang penularan COVID-19 seperti yang berlaku sebelum ini.

"Pembubaran telahpun berlaku. Terima sahajalah dengan hati terbuka dengan niat untuk kita memilih kerajaan terbaik dan meraikan demokrasi.

"Harapnya COVID-19 tidak merebak lagi. Jika meningkat lagi akibat PRN ini, janganlah lagi ada PKP Diperketatkan dan seumpama dengannya. Rakyat sudah bosan," katanya dalam satu perkongsian di Facebook pada Selasa.

Beliau dalam masa sama berkata tidak bersetuju dengan pembubaran DUN yang berlaku ketika negara baharu sahaja melangkah ke fasa selesa selepas hampir dua tahun dunia bergelut menangani COVID-19.

Walau demikian, situasi politik sepertimana yang berlaku di Melaka ketika ini akan membuka ruang buat rakyat menentukan wakil terbaik untuk mentadbir negeri tersebut.

"Saya tidak bersetuju dengan pembubaran DUN kerana ia memberikan risiko dan ancaman kepada rakyat, namun melihat kepada keangkuhan pemimpin sekarang, biarlah rakyat kembali memilih wakil mereka yang betul.

"Saya tidak suka tindakan yang ‘double standard’. Jika di beberapa negeri sebelum ini berlaku pertukaran kerajaan tanpa perlunya pilihan raya kecil, mengapa perlu di Melaka dalam keadaan kita baharu hendak lega dari ancaman COVID-19 ini?

"Pilihan raya memakan kos. Saya fikir jika dapat dielakkan, alangkah bagusnya wang itu digunakan untuk menjaga kebajikan rakyat," jelas beliau.

Agus turut berharap, rakyat akan memilih wakil yang mempunyai kredibiliti dan sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat. 

"Pilihlah calon sesuai yang dapat memberikan manfaat kepada kita - rakyat, bukannya kepada mereka iaitu wakil rakyat.

"Kuasa di tangan kita sekarang. Tunjukkan kuasa rakyat. Ajar pemimpin dan ADUN, apakah betul tindakan mereka selama ini atau sebaliknya?," tegas beliau.

Selain itu, kata Agus lagi, kerajaan turut perlu meneliti beberapa perkara berkaitan perlembagaan yang melibatkah pembubaran DUN Melaka baru-baru ini.

Ini termasuk tindakan Ketua Menteri yang menasihatkan TYT Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam untuk membubarkan DUN.

"Kes Melaka ini tidak boleh disamakan dengan tindakan gabenor Sabah membubarkan DUN selepas menerima nasihat dari KM kerana pada ketika nasihat diberi, KM masih memiliki majoriti yang sah.

"Ramai juga yang tidak bersetuju dengan pembubaran ini kerana kita masih melawan COVID-19.  Sepatutnya yang berlaku ialah parti atau gabungan yang mempunyai majoriti diberi peluang untuk menubuhkan kerajaan baharu. 

"Di Perak, DUN tidak dibubarkan apabila Menteri Besar menasihatkan Sultan untuk membubarkannya. Jadi, apa perlunya diadakan PRN dalam keadaan sekarang tanpa memberikan peluang kepada majoriti Pakatan Harapan (PH) Plus membentuk kerajaan?

"Lagipun, tempoh pilihan raya hanya tinggal 1 tahun 7 bulan sahaja lagi. Tidak bolehkah kita tunggu tarikh itu?," soal beliau.

Dalam pada itu, menurut Agus lagi, PRN Melaka akan menyaksikan pelbagai senario. Ini kerana PRN yang bakal diadakan kelak akan menjadi ujian buat semua parti bertanding menguji sokongan masing-masing.

"Antara lain, menarik untuk tahu bagaimana menteri dan parti dalam gabungan kerajaan Keluarga Malaysia berkempen.

"Bagaimanakah parti-parti dalam gabungan kerajaan pusat sekarang akan bertanding? Apakah kerusi dibahagikan sesama mereka antara UMNO, Bersatu dan Pas atau bertanding sesama sendiri?

"Juga bagaimana kepemimpinan PH di bawah Datuk Seri Anwar Ibrahim? Apakah akan bertanding atas tiket parti masing-masing atau lambang PH atau juga bertanding sesama sendiri?," nyata beliau dalam kenyataan sama.