KUCHING: Desas-desus Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 bertiup kencang apabila Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dijangka membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Jumaat ini (22 Oktober 2021).

Beliau dijangka membuat pengumuman tersebut di Kuching dalam satu sidang media khas.

Menurut sumber yang rapat dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS), sekretariat pilihan raya GPS sudah meminta calon untuk mengemukakan maklumat terkini kepada ibu pejabat parti.

Manakala satu sumber yang lain memberitahu, Abang Johari telah menghadap Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong untuk limpah perkenan bagi cadangan pembubaran DUN.

Pengumuman tersebut dikatakan akan berlaku sebelum lawatan sulung Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke bandar raya ini pada Sabtu, sekali gus melancarkan program Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Borneo, Kuching.

Sebelum ini, Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah memberitahu, GPS bersedia untuk melaksanakan proses demokrasi ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar pula berkata, PRN boleh diadakan pada bila-bila masa, dengan Abang Johari hanya perlu menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk pelepasan Proklamasi Darurat.

Esok, Ketua Menteri akan mengadakan lawatan rasmi ke Sri Aman untuk melancarkan Agensi Pembangunan Sri Aman dan menghadiri Majlis Pecah Tanah Projek Rakyat Peace Park.

Pada masa yang sama, beliau akan mengadakan lawatan ke Hospital Sri Aman yang baharu.

Difahamkan, jika pembubaran dilakukan pada Jumaat ini, PRN dijangka diadakan pada penghujung bulan November, bagi mengelak musim tengkujuh pada Disember.

Sementara itu, maklumat dalaman parti memberitahu, ramai muka baharu akan dikemukakan GPS pada kali ini.