PETALING JAYA: Imej badan kehakiman negara yang tercemar akibat campur tangan pihak tertentu sejak sekian lama harus melalui proses reformasi bagi mengembalikan kepercayaan orang ramai.

Menurut Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum ini ada usaha untuk mengembalikan kebebasan badan tersebut daripada campur tangan pihak berkepentingan, namun usaha itu dilihat terganggu.

“Ada sosok yang berkepentingan sama ada mempertahankan rasuah, mempertahankan pemimpin-pemimpin yang bergelumang dengan segala rasuah skala besar yang mahu merosakkan proses kebebasan badan kehakiman.

“Maka dengan itu saya percaya rakyat akan bangkit untuk mempertahankan badan kehakiman yang bebas dan segala percubaan dari orang-orang yang ada kesan (akibat) terlibat dengan rasuah besar ini kita harus berani mempertahankan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Konvensyen Generasi Keadilan: Muafakat Generasi, Penerus Reformasi di sini pagi tadi.

Institusi Kehakiman | Badan kehakiman perlu reformasi


Malah jelas Anwar lagi, bukan sahaja badan kehakiman yang memerlukan perubahan tetapi turut meliputi badan penguatkuasaan yang lain termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

PKR serta Pakatan Harapan (PH) katanya tidak akan bertolak ansur dengan sebarang percubaan menggugat kebebasan badan kehakiman dan pihak berkuasa di negara ini.

Bahkan beberapa kes melibatkan rasuah besar kebelakangan ini katanya hanya melibatkan siasatan dan pembongkaran di negara luar yang membabitkan tokoh korporat dan ahli politik Malaysia .

“Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara, SPRM dan PDRM itu haruslah tegas mengembalikan kedudukan kebebasan ini,” jelasnya lagi.

Sebelum itu ketika menyampaikan ucapan perasmian pada majlis tersebut Datuk Seri Anwar juga berkata, integriti badan kehakiman ketika ini terus dicemari sekalipun tampuk kepimpinan negara sudah silih berganti.

Malah katanya badan antarabangsa dunia seperti Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) turut mengakui berlakunya kepincangan membabitkan sistem keadilan di negara ini.