KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil jangan hipokrit dengan hanya mengkritik pakaian orang lain sahaja, kata Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

Mohamed Nazri juga menasihatkan Fahmi agar melihat juga almari pakaiannya kerana pakaian pemimpin PKR itu juga bukan murah dan berjenama.

"Kalau kita lihat pakaian dia pun boleh tahan. Kalau tengok di Parlimen suit dia, kasut dan jam tangan boleh tahan juga, itu baru penggal pertama jadi ahli Parlimen.

"Perdana Menteri pakai baju mahal atau berjenama ini bukan pelik kerana berdasarkan pengalaman saya semasa menjadi menteri sebelum ini, ramai yang menghadiahkan perdana menteri pakaian dan barangan lain yang berjenama dan mahal.

"Fahmi boleh tanya boss dia, Anwar Ibrahim masa jadi timbalan perdana menteri, itu baru timbalan perdana menteri belum perdana menteri, ramai yang hadiahkan barangan mahal dan berjenama termasuk baju.

"Jadi bila orang dah bagi hadiah, kita kena pakailah tanda kita hargai pemberian orang, bukan simpan dalam almari," katanya kepada Astro AWANI.

Mengulas lanjut, Mohamed Nazri berkata beliau pelik dengan sikap Fahmi yang suka mengkritik barangan milik orang lain.

Mohamed Nazri menjelaskan, sebelum ini Fahmi mengkritik tindakan beliau menghantar anak lelakinya belajar di Paris.

"Apa masalah dia? Sebelum ini dia kritik saya hantar anak belajar di Paris, saya tidak guna duit dia, saya tidak guna duit kerajaan, saya guna duit saya sendiri.

"Kenapa dia sibuk sangat hal orang lain? Kenapa tidak masa yang digunakan untuk nilai baju orang lain itu digunakan untuk bersama membantu rakyat?" katanya lagi.

Mohamed Nazri berkata demikian ketika mengulas kritikan Fahmi terhadap kemeja lengan pendek berjenama yang dianggarkan bernilai RM6,900 yang dipakai Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau juga yakin rakyat tidak peduli tentang harga pakaian perdana menteri kerana apa yang dipentingkan adalah usaha yang dilakukan bagi membantu meringankan beban kos sara hidup.