KUALA LUMPUR: Adakah wajar RM1 bilion digunakan untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada tahun ini atau wang itu digunakan bagi membantu rakyat.

Persoalan itu dikemukakan oleh Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil, menjawab ura-ura PRU15 akan diadakan pada Oktober depan, selepas pembentangan Bajet 2023 diumumkan.

Fahmi berkata, beliau meluahkan kebimbangan dengan kejadian banjir kilat kebelakangan ini ditambah pula fenomena La Nina atau hujan dijangka berterusan hingga hujung tahun.

"Biasanya Oktober bulan siap siaga hadapi banjir. Saya harap perkara itu diambil kira oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kerajaan Pusat sebelum umumkan tarikh PRU15.

"Jika dilihat kejadian banjir yang berlaku di Baling, ia libatkan kerosakan harta benda yang agak besar. Sekiranya La Nina berterusan hingga hujung tahun, adakah wajar RM1 bilion digunakan untuk PRU15 ketika rakyat hadapi masalah," katanya pada sidang akhbar Rapat Mega Keadilan di ibu pejabat PKR pada Rabu.

Beliau berpandangan, PRU15 sesuai diadakan pada tahun depan memandangkan masih mempunyai banyak masa kerana Parlimen akan terbubar secara automatik selewatnya pada 15 Julai 2023.

"Paling lewat Parlimen dibubarkan secara automatik pada 15 Julai 2023, bermaksud pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari, sama ada pada 14 atau 15 September 2023.

"Saya lihat masih ada masa. Kita tidak boleh ambil ringan masalah dihadapi oleh rakyat ini. RM1 bilion itu jumlah yang besar, sepatutnya wang itu digunakan untuk membantu rakyat menghadapi musim banjir," katanya. - Sinar Harian